KULAI : Kegembiraan enam remaja memancing di Sungai Skudai berhampiran Kampung Jaya Sepakat, Senai di sini hari ini berakhir tragedi apabila salah seorang daripada mereka mati lemas dihanyutkan arus deras.
Mayat Abdul Rashid Abdul Rahim, 18, ditemukan pada jarak 30 meter dari lokasi hanyut pada pukul 6.25 petang.
Terdahulu, dalam kejadian 2.38 petang itu, Abdul Rashid difahamkan bersama seorang lagi rakannya sedang mandi di sungai tersebut setelah selesai memancing.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bandar Baru Kulai, Penolong Penguasa Bomba Mohd. Fauzi Awang berkata, mangsa ke kawasan itu untuk memancing bersama lima lagi rakannya.
Katanya ketika kejadian, empat rakan mangsa masih lagi leka memancing manakala mangsa dan seorang rakan turun mandi Sungai selepas selesai memancing.
“Menurut saksi di lokasi, rakan mangsa hanya mandi di tebing sungai sahaja manakala mangsa pergi ke tengah sungai seakan mahu menyeberang.
“Namun, apabila mangsa sampai di tengah sungai di bahagian yang dalam, mangsa terkapai-kapai dan terus tenggelam.
“Melihat kejadian tersebut, rakan mangsa cepat-cepat menghubungi pihak bomba untuk mendapatkan bantuan,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Mohd. Fauzi berkata, seramai 10 anggota bomba digerakkan ke lokasi kejadian bagi menjalankan operasi mencari dan menyelamat (SAR) bagi mengesan mayat mangsa.
Katanya, operasi itu mengalami kesukaran disebabkan arus sungai tersebut yang sangat deras.
“Pasukan Keluaran Operasi (PKO) bertindak membuat pencarian di sekitar kawasan yang dilaporkan hingga menyusuri tebing sungai.
“Mangsa lemas telah ditemui pada jarak 30 meter dari lokasi hanyut pada pukul 6.25 petang,” katanya. -UTUSAN ONLINE
Tiada ulasan:
Catat Ulasan