Nurul Husna Mahmud
RATA-RATA yang berkunjung ke kedai jam, biasanya melihat kelibat tukang baiki adalah lelaki dan berusia pertengahan abad.
Namun buat mereka yang pernah mengunjungi 'booth' kecil, Roto Watches Services di sebuah pusat beli-belah di Persiaran Subang Permai bagi tujuan mendapatkan servis itu, pastinya tidak menduga tukang baiki aksesori itu adalah seorang wanita muda.
Baharu menjengah usia 32 tahun, Manisha Rajaa, sudah mampu membaiki jam yang 'berusia' sekali ganda dari umurnya meskipun baharu sahaja tiga tahun berkecimpung dalam perkhidmatan berkenaan.
"Saya sudah biasa dengan reaksi ramai orang terutama usia 'pak cik-pak cik' yang ragu-ragu dengan kemampuan membaiki jam mereka. Malah, ketika saya membuka kedai di sini lima bulan lalu, pelanggan pertama saya seorang lelaki berusia lebih 50-an bimbang untuk tinggalkan jam tangannya.
"Lagipun jam itu berjenama dan bernilai RM4,000. Dia tanya saya, 'betul ke saya boleh baiki jam? Saya memaklumkan dengan memberi jaminan saya akan baiki dan jaga jam dia dengan baik.
"Masa dia ambil jam, dia teruja apabila lihat jam berfungsi dengan baik dan sehingga hari ini, dia antara pelanggan setia selain sering datang lawat kedai semata-mata untuk bersembang," katanya .
Ramai pelanggan selepas mendapatkan servis mereka kagum kerana saya antara satu-satunya wanita muda yang mempunyai kemahiran dalam membaiki jam.
Bagi Manisha, profesion 'doktor' jam bukan kerjaya diminati golongan muda apatah lagi wanita kerana ia berurusan dengan item yang sangat kecil dan setiap model mempunyai teknologi atau pembuatan berlainan.
Malah dia mengakui melihat fenomena kekurangan pembabitan golongan muda dalam kemahiran itu boleh menyebabkan perkhidmatan itu 'pupus' dalam tempoh 20 tahun akan datang.
"Saya sering dengar rungutan ramai pelanggan yang datang mengatakan susahnya untuk cari orang yang boleh baiki jam meskipun semudah menukarkan bateri.
"Mereka kata kalau ada perkhidmatan itu ditawarkan bagi pemakai jam Swiss atau berjenama, mereka terpaksa tunggu berhari-hari kerana biasanya dihantar kepada 'maker' atau pembuatnya. Tetapi, dalam banyak keadaan mereka terpaksa simpan, buang atau beli sahaja jam baharu.
"Saya akui dulu tiada minat langsung dalam kemahiran ini walhal sering lihat bapa dan datuk menggunakan peralatan mereka untuk baiki jam pelanggan.
"Sehinggalah saya berumah tangga dan terpaksa meletak jawatan sebagai 'sous' cef di hotel empat bintang di Pulau Pinang disebabkan mahu membantu keluarga
"Kerja sebagai cef menuntut tempoh kerja panjang dan saya pernah bekerja sehingga 16 jam satu hari kerana itu saya beralih dan mula pelajari skil asas sehinggalah kepada memperbaiki jam mekanikal yang rumit berusia ratusan tahun," katanya,
Profesion baharu itu memberi kepuasan tersendiri apabila pelanggan
bukan sahaja gembira dengan servis diberikan Manisha, malah mereka
berkongsi 'memori' penuh makna ketika mula memiliki aksesori itu.
"Jam ini antara aksesori sering diterima sebagai hadiah, baik daripada kawan, malah keluarga. Ada juga mewarisi turun-temurun daripada datuk mereka atau bapa mahupun dihadiahkan pasangan.
"Apabila saya dapat buat 'jarum' jam berdetik kembali, reaksi muka mereka beri antaranya teruja dan gembira selepas bertahun-tahun rosak dan disimpan sahaja.
"Salah satu pengalaman saya ialah membaiki jam seorang pelanggan yang dibeli ayahnya ketika tahun 80-an. Jam itu dalam simpanan dia 30 tahun dan dia bawa, lalu saya baiki.
"Gembiranya dia sehinggakan dia bercerita kenangan jam itu bersama bapanya. Setiap kali dia datang untuk membeli-belah ke sini, dia akan berhenti ke kedai saya hanya untuk bersembang. Itu buat saya gembira dan rasa kemahiran ada boleh buat orang lain gembira," katanya.
Malah, Manisha berhasrat mengembangkan lagi servis dengan kedai lebih besar dan mempopularkan perkhidmatan baiki jam.
Apatah lagi hasrat itu berupaya menarik perhatian lebih ramai belia menyertai sama terutama dalam kalangan wanita.
Sementara itu, bapanya, Rajaa Thiagarajan yang mempunyai pengalaman 40 tahun bukan sahaja mempunyai skil, malah mempunyai minat mendalam dalam pembuatan jam apabila memiliki lebih 300 koleksi jam lama dan antik.
Katanya, dia yang masih menawarkan khidmat membaiki jam meskipun mencecah usia 60 tahun menyifatkan setiap jam mempunyai keistimewaan selain menunjukkan 'kehebatan' pereka dan pembuatnya.
"Zaman sekarang ramai orang berebut memiliki teknologi dan jam digital canggih serta boleh disambung dengan telefon pintar, ia masih tidak mampu menyaingi ketahanan jam mekanikal boleh bertahan puluhan tahun.
"Tidak menggunakan bateri, bagaimana mekanisme direka atau dicipta pembuatnya boleh membuatkan jarum jam terus berdetik puluhan tahun," katanya.
Keseronokan dalam kerja memperbaiki jam ibarat tugas mekanik bukan sahaja perlu sentiasa tingkatkan skil diri kerana teknologi setiap syarikat menghasilkan jam yang berbeza.
"Lagi rumit masalah jam itu lagi teruja saya. Saya tidak kisah mengadap berjam-jam untuk baikinya kerana itu keseronokkan bagi tukang baiki jam apabila melihat jam kembali hidup.
"Pernah ada seorang peguam ternama dapatkan khidmat selepas usaha dia membaiki jam dihadiahkan rakan gagal dibaiki syarikat pembuatnya.
"Saya dapat hidupkan dan dia sangat gembira. Lagi satu buat saya gembira dengan kerja saya, sebaik tengok rekod kerja sendiri apabila jam tangan pernah dibaiki tahan bertahun lama.
"Ada seorang kenalan saya kembali datang baiki dan saya buka lihat rekod lama yang mana saya tinggalkan setiap kali selepas baiki jam ada tulis tarikh terakhir kira-kira 20 tahun lalu," kata Rajaa di kedainya yang terletak berhampiran stesen monorail Jalan Tun Sambathan, Brickfields, Kuala Lumpur.
Malah, Rajaa turut berkongsi jam pendulum antik berkaki besar berusia lebih 100 tahun sebagai inventori item paling berharga dalam senarai koleksi jam antik sementara mempunyai lebih 160 jam tangan pelbagai jenama.
Katanya, setiap jam dijaga rapi dan disusun dalam satu bilik khas di rumah keluarganya untuk dilihat seperti sebuah galeri pameran. Lebih penting setiap jam masih berfungsi dengan baik.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan