Nilai: Menguruskan anak istimewa memerlukan kesabaran dan ketabahan tinggi terutama apabila usia semakin meningkat senja.
Keluarga ini tinggal di tanah pusaka milik keluarga di Kampung Gadung S/C, Labu di Nilai hanya mampu berserah kepada Yang Maha Esa bagi mengubah kehidupan mereka.
Ibu tunggal, Maimunah Udin, 58, tidak pernah merasa kesal dikurniakan anak istimewa, Siti Nor Aliya Idris atau Aliya kini berusia 25 tahun yang hanya mampu duduk di atas kerusi roda khas yang sudah uzur.
"Aliya lahir normal, tetapi diserang sawan ketika berusia dua minggu yang menyebabkan keadaan fizikalnya mula berubah dan sejak itu matanya turut tidak dapat melihat.
"Dalam masa sama Aliya terkena jangkitan kuman pada otak yang merosakkan sistem saraf deria rasa, kerana itu apabila tangannya luka akibat digigitnya sendiri, dia tidak menunjukkan sebarang reaksi," katanya yang kematian suami setahun yang lalu.
Katanya, semua perbelanjaan susu dan lampin pakai buang Aliya hanya bergantung kepada bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebanyak RM350 dan Baitulmal RM250 sebulan.
"Mujur rumah ini tidak disewa, kalau tidak tak tahulah nasib kami sekeluarga kerana anak sulung, Siti Nor Hidayu Idris, 27, hanya bekerja sebagai pembantu kedai serbaneka di Seremban.
"Hanya Hidayu mencari rezeki bagi menampung kehidupan keluarga seperti barangan dapur, bil utiliti dan perbelanjaan lain kerana saya perlu jaga Aliya sepenuh masa," katanya ketika menerima kunjungan Pertubuhan Kebajikan Asnaf Setia Kasih Negeri Sembilan (Perkasih N9) di rumahnya, semalam.
Maimunah berkata, dia berharap ada pihak sudi menyumbangkan kerusi roda khas untuk Aliya.
"Kerusi roda khas ini dah uzur dan tidak boleh bergerak jauh terutama ketika bawa Aliya ke hospital atau menolaknya untuk mandi kerana saya perlu mengangkatnya ke bilik air.
"Rumah ini dah banyak rosak terutama atap reput menyebabkan tiris jika hujan.
"Kakaknya (Hidayu) sering beralah dan tidur di bilik yang atapnya terlalu uzur dan sering basah apabila hujan lebat," katanya.
Sementara itu, Pengerusi Perkasih N9, Norfadilah Mansor berkata, pihaknya cuba mencari dana bagi mendapatkan sebuah kerusi roda khas bagi memudahkan pergerakan anak istimewa ini.
"Saya tidak pasti harganya kerana kerusi roda khas itu perlu ikut bentuk badan Aliya sebelum mengetahui nilai sebenar, tetapi anggaran sekitar RM2,000 hingga RM3,000.
"Kami sedia berbincang bersama pertubuhan bukan kerajaan (NGO) atau mana-mana individu yang sanggup infaq bagi mendapatkan kerusi roda khas itu," katanya di sini, semalam.
Orang ramai yang mahu menyumbang boleh menyalurkan ke akaun Bank Simpanan Nasional (BSN) 05100-29-00045762-6 (Maimunah Udin) atau untuk infaq dana kerusi roda khas Aliya dengan menghubungi Norfadilah Mansor di talian 012-9805132.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan