PONTIAN: Fenomena air pasang besar di perairan daerah ini menyebabkan beberapa lokasi sekitar Pekan Benut dinaiki air termasuk kawasan penempatan Kampung Nelayan Benut dan Terminal Pengangkutan Awam Benut.
Kejadian air pasang besar itu berlaku sekitar pukul 11.30 tengah hari tadi menyaksikan kawasan terlibat dinaiki air setinggi 3.5 meter.
Pegawai Pertahanan Awam Daerah, Mohd. Noorhafidzul Nordin berkata, tiada pusat pemindahan mangsa banjir dibuka memandangkan keadaan limpahan air laut masih terkawal dan tidak berbahaya.
“Anggota masih melakukan pemantauan di beberapa kawasan di daerah ini antaranya Kukup dan Benut.
“Empat anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) ditugaskan ke Benut untuk membuat pemantauan dari semasa ke semasa. Selain itu pemantauan turut dilakukan di Kukup,” katanya.
Terdahulu, tular di laman sosial Facebook beberapa gambar memaparkan kejadian di Pekan Benut berkenaan apabila terdapat orang ramai mendakwa berlakunya banjir di kawasan itu.
Dipercayai fenomena air pasang besar berlaku di beberapa perairan Johor bermula semalam dan dijangka berakhir hari ini. – UTUSAN ONLINE
Tiada ulasan:
Catat Ulasan