Isnin, 23 November 2020

COVID-19: 12 daerah catat peratus pematuhan SOP yang tinggi di Sabah

Oleh Izwan Abdullah
Rakyat dinasihat terus mematuhi SOP pencegahan COVID-19 - Masidi. FOTO NSTP
Rakyat dinasihat terus mematuhi SOP pencegahan COVID-19 - Masidi. FOTO NSTP

KOTA KINABALU: Sebanyak 12 daerah mencatat kadar pematuhan prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) melebihi purata 97.88 peratus di Sabah, semalam.

Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan negeri, Datuk Masidi Manjun, berkata daripada jumlah itu, tiga daerah iaitu Kinabatangan, Sipitang dan Kota Belud mencatat kadar pematuhan SOP tertinggi dengan 99 peratus.

Beliau berkata, tiga daerah lagi iaitu Kudat, Kunak dan Beaufort mencatat kadar pematuhan 98.5 peratus, manakala Kota Kinabalu, Penampang, Papar, Kota Marudu, Beluran dan Sandakan mencatat kadar pematuhan 98 peratus.

"Daerah lain iaitu Tuaran, Keningau, Tenom, Tawau, Lahad Datu dan Semporna mencatat kadar pematuhan SOP di bawah purata harian iaitu 97 peratus, manakala tahap pematuhan SOP di Ranau hanya 96 peratus," katanya dalam kenyataan media perkembangan harian COVID-19 Sabah, malam tadi.

Masidi dalam sidang medianya sebelum ini, berkata peratus pematuhan itu dikira berdasarkan bilangan kenderaan yang diarah berpatah balik dan dikenakan kompaun ketika ditahan di sekatan jalan raya (SJR) setiap daerah.

Semalam, Polis Diraja Malaysia (PDRM) memeriksa 52,242 kenderaan dengan sebanyak 189 diarah berpatah balik, manakala 18 kompaun dikeluarkan kerana melanggar SOP di 71 SJR seluruh negeri.

SJR dilaksanakan sejajar larangan rentas daerah yang masih dikuatkuasakan di negeri ini.

Masidi yang juga Menteri Kewangan II Sabah berkata, kerjasama semua pihak penting dalam usaha memutuskan rantaian COVID-19 dengan mematuhi SOP dan mengamalkan norma baharu dalam kehidupan seharian.

Semalam, Sabah mencatat 311 kes baharu positif COVID-19 dengan tiga kematian, masing-masing satu di Sandakan, Tawau dan Kota Kinabalu, dengan kumulatif sebanyak 23,193 kes.

Katanya, seramai 398 pesakit COVID-19 dilaporkan sembuh dan dibenar keluar hospital semalam, manakala seramai 2,385 pesakit masih menerima rawatan dengan 660 orang di hospital dan 1,725 orang di Pusat Rawatan dan Kuarantin Berisiko Rendah (PKRC).

Tiada ulasan: