GEORGETOWN: Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) mendakwa terdapat 21 produk makanan dan minuman dalam pasaran yang mengandungi racun terkawal.
Presidennya, Mohideen Abdul Kader berkata, racun terkawal seperti sildenafil, tadalafil, dexamethasone dan prednisolone itu dilaporkan ditemukan dalam produk makanan dan minuman antaranya minuman kesihatan, kandi dan kopi pracampuran.
Ujarnya, kesemua bahan tersebut merupakan ubatan terkawal dan hanya boleh dibeli melalui preskripsi doktor sekali gus menimbulkan persoalan bagaimana boleh sampai ke tangan pengeluar makanan.
Tambah beliau, produk yang mengandungi contohnya campuran sildenafil dan kafein pada paras tinggi boleh meningkatkan tekanan darah dan jika tidak diawasi boleh membawa maut.
“Dari semasa ke semasa kita mendengar Kementerian Kesihatan merampas makanan dan suplemen yang mengandungi ubatan terkawal.
“Sungguhpun pihak berkuasa telah mengharamkan produk yang didapati mengandungi ubatan, produk seumpamanya masih beredar di pasaran di bawah jenama yang berbeza,” katanya dalam kenyataan di sini semalam.
Sehubungan itu, tambah Mohideen, Kementerian Kesihatan perlu menjalankan siasatan bagi mengenal pasti dari mana pengeluar produk haram berkenaan mendapatkan bekalan ubatan terkawal untuk produk mereka.
Ujarnya, jika siasatan tidak dijalankan maka tiada serbuan atau rampasan oleh pihak berkuasa yang dapat menghentikan produk berbahaya itu daripada terus beredar di pasaran.
“Sudah tiba masanya Kementerian Kesihatan memandang serius situasi ini dan membanterasnya hingga ke akar umbi dengan menguatkuasakan dengan tegas Akta Racun 1952,” katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan