Selasa, 17 November 2020

Cadangan ujian saringan dari zon merah ke hijau

MGF16112020_PC-COVID-1904
Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah bercakap pada sidang media perkembangan terkini COVID-19 di Kementerian Kesihatan Malaysia, Putrajaya. foto AFFAN FAUZI,

PUTRAJAYA – Cadangan ujian saringan terhadap individu dari daerah zon merah yang melakukan perjalanan ke zon hijau sedang dipertimbangkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, cadangan itu sebagai usaha bagi melindungi negeri atau daerah yang berstatus hijau.

“Kita sedang melihat untuk melakukan saringan dan diuji bagi mereka dari daerah zon merah,” katanya pada sidang media harian Covid-19 di sini hari ini.

Dr Noor Hisham menambah, KKM akan turut mempertimbangkan cadangan Johor dan Terengganu diletakkan semula di bawah Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) sekiranya terdapat keputusan positif dari kedua-dua negeri itu.

“Selepas 20 November, kita akan lihat kembali perkembangan di Dungun dan Johor. Kalau baik, kita pertimbang untuk kembalikan PKPP,” katanya.

Beliau bagaimanapun berkata, KKM akan terus melihat langkah-langkah yang boleh melindungi negeri hijau.

“Insya-Allah, kalau empat hari lagi perkembangan makin baik, negeri PKPP menjadi enam.

“Tindakan kita melindungi enam negeri ini dengan aktiviti kesihatan awam yang dikenalpasti,” katanya.

Setakat ini, hanya Pahang, Kelantan, Perlis dan Sarawak dikategorikan sebagai negeri hijau dan diletakkan di bawah PKPP. – MalaysiaGazette

Tiada ulasan: