Jerantut: Sebanyak 62 anak seladang dilahirkan secara semula jadi di Pusat Konservasi Hidupan Liar (PKHL) Seladang, Jenderak Selatan di sini, sejak 2010 hingga kini.
Pengarah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Pahang Rozidan Md Yasin berkata, ia pencapaian membanggakan selepas pelbagai usaha dilakukan pihaknya secara berterusan sejak 38 tahun penubuhan PKHL Seladang.
Menurut Rozidan, ketika ini, ada 183 seladang di PKHL Seladang.
"Semua seladang ini dilepas bebas dalam 16 kurungan besar selain diberi makan dua kali sehari.
"Setiap tahun, dua hingga tujuh seladang dilahirkan. Anak seladang ini ditempatkan bersama ibunya dalam kurungan sehingga dewasa," katanya.
Menurut Rozidan, sebelum ini, PKHL Seladang pernah mengadakan program permanian beradas dan ia berjaya namun projek itu ditamatkan empat tahun lalu disebabkan beberapa faktor.
Katanya, sejak 10 tahun lalu, semua anak seladang dimasukkan cip bagi tujuan pengesanan dan menyimpan data berkaitan haiwan terbabit.
"Bagi tempoh sembilan bulan tahun ini, tiga anak seladang dilahirkan iaitu masing-masing pada Januari, Februari dan 23 September lalu.
"Seladang bunting 10 bulan dan anaknya menyusu sehingga usia sembilan bulan," katanya.
Menurut Rozidan, ada juga anak seladang mati selepas beberapa hari dilahirkan.
Contoh, anak pasangan Nino (jantan) dan Awani yang diberi nama Jamel.
Katanya, ketika dilahirkan, Jamel seberat 30 kilogram (kg), namun beberapa hari kemudian, ia mati akibat masalah kesihatan.
"Dalam tempoh 10 tahun ini, PKHL Seladang terbabit dalam program pelepasan 30 seladang secara berkumpulan di beberapa hutan utama dalam usaha menambah jumlah binatang terbabit di habitat asal.
"Pada 14 dan 20 Oktober lalu, Perhilitan melepaskan dua seladang jantan dewasa diberi nama Arm, berumur enam tahun dan Bato, berumur lima tahun ke habitatnya," katanya.
Menurut beliau, sebelum dilepaskan, seladang berkenaan menjalani proses penyesuaian bagi membantunya berada dalam keadaan sedia dan selesa apabila dilepaskan ke hutan.
Lokasi pelepasan dipilih juga mempunyai sumber makanan semula jadi yang tinggi.
"Seladang dilepaskan ini dipasang alat pengesan untuk memantau kedudukannya di dalam hutan menggunakan kemudahan satelit.
"Usaha mengesan dan menangkap seladang liar di hutan di negara ini terus berjalan.
"Ia bertujuan mendapatkan baka baharu yang mampu menghasilkan anak lebih berkualiti, tahan penyakit dan bersaiz besar," katanya.
"Seladang antara binatang dilindungi sepenuhnya di negara ini,
tindakan mengikut Akta Perlindungan Hidupan Liar 2010 dikenakan kepada
pihak terbabit dengan aktiviti memburunya," katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan