Ahad, 15 November 2020

Bantu kami bantu mereka

Oleh Suliati Asri
 
ORANG ramai digalakkan menunaikan zakat secara online melalui www.zakat.com.my, atau perbankan internet. Untuk bayaran lebih konsisten daftar Skim Potongan Zakat Bulanan di ptg.zakat.com.my.

Kuala Lumpur: Malaysia masih berjuang untuk memutuskan rantaian penularan wabak Covid-19 sehingga Pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) terpaksa dilaksanakan semula.

Hal ini nyata memberikan kesan kepada ekonomi negara dan mewujudkan lebih ramai asnaf baharu. Situasi itu diakui sendiri Ketua Pegawai Eksekutif Pusat Pungutan Zakat Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (PPZ-MAIWP), Ahmad Shukri Yusoff yang berasakan pandemik ini memberi kekangan dan kesukaran kepada masyarakat.

Menurutnya, sebagai institusi zakat yang diberi tanggungjawab untuk membuat kutipan, pihaknya turut merasai kesannya apabila masyarakat sukar untuk berkunjung ke kaunter bagi menunaikan zakat walaupun kaunter dibuka dengan prosedur operasi standard (SOP) yang ketat.

"Walaupun begitu, setakat ini ia masih tidak menjejaskan kutipan kami.

"Malahan kutipan dari Januari hingga Oktober mempunyai peningkatan lapan peratus berbanding tempoh sama pada 2019 dengan jumlah kutipan RM532 juta," katanya.

Mengulas mengenai kesan pandemik Covid-19 terhadap pembayaran zakat, kata Ahmad Shukri, pihaknya bersyukur kerana dalam keadaan diuji sebegini, masih ramai yang menunaikan zakat di PPZ-MAIWP.

"Ada yang membuat potongan gaji, meningkatkan pembayaran sebab sebahagian daripada mereka memikirkan inilah masa yang sangat baik untuk tingkatkan bayaran pada waktu yang sangat sukar ini.

"Namun, kami menjangkakan kutipan mungkin akan terkesan pada 2021. Jadi, untuk menyelesaikan masalah itu, pasukan kami terus berusaha supaya tidak berlaku penurunan drastik.

"Kami juga akan menggunakan strategi sesuai dalam situasi kini sama ada kita pertahankan jumlah yang diterima atau tambahkan lagi sedikit daripada apa yang dikutip," katanya.

Bagi memastikan masyarakat terus menunaikan zakat sekali gus membela nasib asnaf di Wilayah Persekutuan, PPZ-MAIWP memperkenalkan pelbagai inisiatif termasuk mempertingkat dan memperkasa saluran digitalnya.

Ahmad Shukri berkata, menerusi platform digital Ramadan lalu misalnya, kutipan menerusi fitrah.zakat.com.my untuk zakat fitrah saja melonjak sehingga RM5 juta berbanding pembayaran secara dalam talian biasanya kutipan hanya RM300,000.

"Kami juga giat mengajak pembayar membuat potongan menerusi Kempen Skim Potongan Zakat Bulanan (SKIM PZB) sebagai galakan orang ramai menunaikan zakat melalui potongan gaji secara bulanan yang dilihat lebih konsisten dan memudahkan tanpa perlu ke kaunter.

"Skim Kafalah Muzakki, Khairat Kematian RM3,000 kepada waris pembayar zakat di PPZ-MAIWP juga diperkenalkan buat kali pertamanya di negara ini bagi meraikan pembayar.

"PPZ-MAIWP juga turut memberi bantuan tambahan melalui program tanggungjawab sosial (CSR) Khaira PPZ untuk golongan memerlukan seperti asnaf dan B40 bagi meyakinkan lagi pembayar sekali gus terus membayar," katanya.

Seperti tahun-tahun sebelumnya, PPZ-MAIWP juga akan mengadakan Kempen Year End Zakat sebagai galakan untuk menunaikan bayaran zakat mencapai haul dan mendapat rebat cukai pendapatan. Penganjuran kempen itu juga adalah salah satu langkah bagi memastikan PPZ-MAIWP mencapai sasaran kutipan secara keseluruhan pada tahun ini.

Covid-19 ini bukan sahaja menambahkan jumlah asnaf, tetapi turut memperlihat ramai hero yang tampil membantu mengisi ruang kosong bagi membantu pusat zakat menyalurkan sumbangan.

Kini, banyak pihak seperti badan bukan kerajaan (NGO) dan individu menyalurkan sumbangan serta bantuan terus kepada golongan memerlukan.

Menurut Ahmad Shukri, bantuan yang diberikan NGO dan individu itu bukan menidakkan usaha pusat zakat atau Baitulmal, tetapi ia memperlihatkan masyarakat semakin sedar bahawa di sekeliling kita ini ada golongan memerlukan yang perlu dibantu.

"Sebenarnya, perkara itu adalah cabaran yang baik kepada institusi zakat untuk memberi perkhidmatan terbaik supaya memudahkan segala urus selia, bantuan zakat dan tempoh penyerahan bantuan mengambil masa yang lebih singkat.

"Namun, saya berasakan tidak adil jika dikatakan berlaku kesukaran bantuan adalah disebabkan institusi zakat, baitulmal, majlis agama Islam negeri atau Jabatan Kebajikan Masyarakat saja.

"Saya berasakan ia adalah pandangan yang tidak tepat kerana kita semua perlu bekerjasama membantu golongan memerlukan terutama pada saat yang sukar ini," katanya.

Dengan keadaan yang sukar ini, lahirnya ramai asnaf baharu, B40 dan M40 yang berpindah ke B40 dalam sekelip mata disebabkan kehilangan mata pencarian.

Ahmad Shukri berkata, dia mengambil kesempatan ini menyeru mereka yang layak menunaikan zakat di PPZ-MAIWP untuk bantu meringankan beban sahabat asnaf yang terkesan dengan situasi ini.

"Lebih banyak kutipan zakat lebih ramai asnaf yang dapat di bantu. PPZ-MAIWP juga akan sentiasa mengambil langkah proaktif untuk membantu dan melihat keperluan semasa dalam menyantuni semua pihak yang mengalami kesukaran sepanjang tempoh fasa pemulihan Covid-19," katanya.

Bagi membantu kerajaan mengekang penularan wabak Covid-19, orang ramai digalakkan untuk menunaikan zakat secara dalam talian melalui www.zakat.com.my atau perbankan internet serta ejen-ejen kutipan zakat yang berdaftar di PPZ-MAIWP. Untuk bayaran zakat yang lebih konsisten boleh daftar Skim Potongan Zakat Bulanan di ptg.zakat.com.my.

Tiada ulasan: