Jumaat, 20 November 2020

20 kereta rosak: Tangki simpan petrol RON95 dimasuki air jadi punca

MGF11102019_HUMAN-INTERST-BAJET-PETROL_01-1
Gambar hiasan

BESUT – Salah satu tangki menyimpan bahan api RON95 dimasuki air akibat hujan lebat, dikenal pasti sebagai punca 23 buah kereta mengalami kerosakan selepas mengisi petrol di sebuah stesen minyak di Kampung Anak Ikan, di sini pada Rabu lepas.

Ketua Cawangan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Besut Azani Ismail berkata, ia merupakan hasil siasatan pihaknya yang segera ke stesen minyak tersebut, selepas kejadian itu tular di laman sosial Facebook.

“Hasil siasatan mendapati satu tangki yang menyimpan bahan api RON95 di stesen minyak itu terbukti telah bercampur dengan air, akibat daripada hujan lebat yang berlaku pada hari tersebut.

“Pengurus stesen minyak mula menyedari kejadian tersebut sekitar pukul 8.30 pagi, setelah menerima aduan daripada pengguna dan segera menghentikan operasi stesen minyak itu, bagi menjalankan proses penyucian tangki dan pengasingan air,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Azani berkata ekoran kejadian itu pihak stesen minyak tersebut terpaksa menanggung kerugian sebanyak RM15,798, termasuk RM11,000 kerugian disebabkan tidak dapat beroperasi sepanjang proses penyucian tangki dan pengasingan air dijalankan.

Selain itu katanya pihak stesen minyak juga telah membayar ganti rugi keseluruhannya bernilai RM4,798 kepada 23 pemilik kenderaan yang rosak.

 Tambah beliau, pihak stesen minyak berkenaan turut meminta pengguna yang telah mengisi petrol RON95 di stesen minyak itu bermula pukul 7 pagi hingga 8.30 pagi Rabu lepas, untuk membuat tuntutan sekiranya masih belum berbuat demikian.— BERNAMA

Tiada ulasan: