Dianggarkan sejumlah RM14 bilion akan disediakan
KUALA LUMPUR – Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) menjangka kemudahan i-Sinar akan memberi manfaat kepada dua juta ahli yang layak dan dianggarkan sejumlah RM14 bilion akan disediakan.
Ketua Pegawai Eksekutifnya Tunku Alizakri Raja Muhammad Alias berkata KWSP telah memperluaskan skop i-Sinar yang merangkumi ahli yang kehilangan pekerjaan, diberi cuti tanpa gaji atau tiada sumber pendapatan.
Secara umum, ahli yang layak boleh mengakses 10 peratus daripada amaun simpanan mereka dalam Akaun 1, tertakluk kepada baki minimum RM100.
“Bagi ahli yang mempunyai baki RM90,000 dan ke bawah dalam Akaun 1, mereka akan mempunyai akses kepada amaun sehingga RM9,000.
“Bagi ahli yang mempunyai baki lebih daripada RM90,000 dalam Akaun 1, mereka akan mempunyai akses 10 peratus. Bagaimanapun, amaun maksimum yang boleh didahulukan adalah RM60,000,” katanya pada taklimat media, di sini, hari ini.
Beliau berkata amaun pendahuluan akan dikreditkan secara berkala sehingga enam tempoh enam bulan dengan pendahuluan bulan pertama sehingga RM4,000 bagi yang memiliki simpanan Akaun 1 sebanyak RM90,000 dan ke bawah dan sehingga RM10,000 bagi mereka yang mempunyai simpanan lebih RM90,000 dalam Akaun 1.
Ahli yang memilih untuk memohon kemudahan i-Sinar perlu menggantikan amaun yang telah didahulukan.
“Caruman baharu akan dikreditkan 100 peratus dalam Akaun 1 sehingga amaun pendahuluan yang diterima telah digantikan semula. Selepas itu, caruman akan kembali ke kadar pecahan asal iaitu 70 peratus bagi Akaun 1 dan 30 peratus bagi Akaun 2,” katanya.
Ahli yang layak boleh membuat permohonan bermula Disember 2020 dan amaun akan dikreditkan dalam akaun bank ahli pada hujung bulan selepas permohonan dibuat.
“Pengkreditan pertama akan bermula pada Januari 2021. Amaun pendahuluan ini akan dikreditkan secara berkala sehingga enam bulan bermula pada tarikh pertama pengkreditan,” katanya.
Kemudahan itu adalah bertujuan menyediakan dana tambahan kepada ahli yang terkesan untuk memastikan kelangsungan hidup semasa krisis dan simpanan persaraanmasa depan, kata Alizakri. – Bernama
Tiada ulasan:
Catat Ulasan