Selasa, 7 April 2020

PKP: Dr Zulkifli harap tiada lagi kilang arak dibenar operasi

siti hafidah   

Tragedi pemandu mabuk akan jadi igauan ngeri jika tidak diteliti

BANGI – Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri berharap tidak berlaku lagi isu kilang arak yang dibenarkan beroperasi ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Beliau menegaskan pandangannya mengenai arak adalah konsisten tanpa sebarang kompromi, yang mana ianya haram di sisi Islam.

“Ini berdasarkan firman Allah SWT yang bermaksud: Wahai orang-orang yang beriman! Bahawa sesungguhnya arak, dan judi, dan pemujaan berhala, dan mengundi nasib dengan batang-batang anak panah, adalah (semuanya) kotor (keji) dari perbuatan Syaitan. Oleh itu hendaklah kamu menjauhinya supaya kamu berjaya.” (Surah al-Maidah ayat 90),” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau juga mengajak rakyat merujuk penulisan-penulisannya berkenaan arak ketika menjadi Mufti Wilayah Persekutuan.

“Teguran dan nasihat saya ada tulus ikhlas dari hati dan bukan memilih-milih. Arak atau minuman beralkohol bukan sahaja dilarang dalam Islam, malah ianya digambarkan dengan keburukan dan bahayanya dalam agama Hindu, Buddha, Kristian, Sikh dan lain-lain.

“Apalah erti kehidupan kita jika masing-masing tidak berpegang teguh dengan nilai-nilai yang diajarkan dalam agama?,” katanya.

Dr Zulkifli berkata, mereka yang mengenali beliau sejak menjawat jawatan Mufti Wilayah Persekutuan enam tahun lalu, pasti faham akan sikapnya.

Katanya, ia memberi penjelasan mengapa beliau tidak membuat ulasan mengenai surat bertarikh 31 Mac 2020 yang didakwa dikeluarkan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) memberi kebenaran kepada sebuah syarikat arak untuk beroperasi ketika PKP.

“Justeru, apabila semua sudah mengetahui pendirian saya mengenai arak, fahamlah bahawa apa sahaja berkaitan dengannya, saya tetap dengan tegas menolaknya,” katanya.

Sementara mengulas mengenai tragedi kemalangan jalan raya akibat pemandu, Dr Zulkifli berkata, ia bukanlah sesuatu yang asing dalam dada akhbar di Malaysia.

Katanya, ia akan kekal menjadi igauan ngeri rakyat Malaysia jika hal ini tidak diteliti dengan baik.

Selain itu, Dr Zulkifli turut mengakui tidak selesa untuk menjawab bagi pihak kementerian lain.

“Boleh jadi jawapan saya tepat atau salah. Malah, saya juga tidak mengetahui adakah apa yang saya fahami, benar-benar seperti yang dikatakan orang atau sebaliknya.

“Soalan-soalan yang berbaur kontroversi atau bertujuan melaga-lagakan saya dengan sesiapa sahaja, itulah yang terutamanya saya elakkan.

“Ini kerana, kalau saya tergesa-gesa menjawabnya, boleh jadi ia menjatuhkan maruahnya. Inilah antara pesan guru saya Syeikh Al-‘Allamah Dr Muhammad Muhammad Al-Mukhtar Al-Syanqiti,” katanya.


Tiada ulasan: