Isnin, 6 April 2020

Bantuan kewangan kerajaan kepada syarikat penerbangan pilihan terakhir, kata Mavcom

Suruhanjaya Penerbangan Malaysia berkata, kerajaan boleh 
mengecualikan sementara caj yang dikenakan seperti caj kawalan 
trafik udara, levi pelepasan lapangan terbang dan levi 
pembangunan industri. (Gambar fail)

KUALA LUMPUR: Bantuan kewangan kerajaan kepada syarikat penerbangan dalam menghadapi pandemik Covid-19 perlu disusun dengan teliti dan menjadi pilihan terakhir, menurut badan kawal selia penerbangan tempatan, Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (Mavcom).

Dalam kenyataan hari ini, Mavcom berkata, berdasarkan tekanan kepada sumber fiskal kerajaan, pengendali industri perlu menggunakan pilihan lain dahulu, termasuk bantuan daripada pemegang saham masing-masing.

Katanya, kerajaan hanya akan bertindak sebagai pemberi pinjaman terakhir untuk industri.

“Kerajaan juga perlu ingat bahawa matlamat dasar utamanya ialah mengekalkan hubungan udara yang penting (terutamanya laluan Obligasi Perkhidmatan Awam) dan melindungi pihak yang memerlukan sokongan seperti 50,000 pekerja dalam sektor penerbangan dan pengguna Malaysia, daripada meningkatkan prestasi komersial syarikat penerbangan,” katanya.

Mavcom berkata, daripada menyelamat sepenuhnya, terdapat lebih banyak pilihan sasaran yang mengurangkan risiko bahaya moral dan menyalurkan wang kepada penggunaan yang dicadangkan.

Ini termasuk langkah pembiayaan yang diambil oleh syarikat penerbangan untuk memerangi penularan Covid-19 seperti menjalankan proses nyah cemar penerbangan, serta subsidi dan insentif kepada syarikat penerbangan untuk mengekalkan pekerja.

Kerajaan juga boleh mengecualikan sementara caj yang dikenakan seperti caj kawalan trafik udara, levi pelepasan lapangan terbang dan levi pembangunan industri.

Mengenai dasar bukan fiskal dan respons kawal selia, Mavcom berkata, menjelaskan dan memberi kelonggaran kepada keperluan dasar berkaitan penerbangan yang tertentu, seperti dasar mengenai pemilikan, juga dapat memberi kelegaan kepada syarikat penerbangan tanpa kos fiskal kerana ia akan membolehkan penggiat industri untuk mengakses pelbagai sumber pembiayaan daripada pasaran modal tempatan dan antarabangsa.

Bagaimanapun, ia menekankan kepentingan liberalisasi pemilikan untuk disertai dengan pengawasan kawal selia yang berkesan untuk memastikan peserta tidak menyalahgunakan hak liberalisasi mereka.

Mavcom berkata, ia menyedari bahawa pemegang saham sedang menilai pilihan mereka, mungkin mempertimbangkan pengukuhan industri melalui penggabungan, terutamanya semasa krisis seperti pandemik ini.

Katanya, Malaysia Airlines dan AirAsia dilaporkan sedang berbincang mengenai potensi penggabungan sebelum pandemic berlaku, sambil menambah bahawa wabak itu dijangka memberi dorongan kepada penggabungan.

Bagaimanapun, ia mengingatkan peserta industri bahawa urus niaga penggabungan tertakluk kepada undang-undang kawalan penggabungan di bawah Akta 771 dan perlu mengemukakan cadangan penggabungan mereka kepada Mavcom untuk kelulusan.

“Penggabungan antara 2 syarikat penerbangan tempatan dijangka menyebabkan tumpuan yang tinggi kepada pasaran penerbangan domestik Malaysia. Entiti penggabungan dijangka memegang status monopoli dalam kebanyakan laluan domestik.

“Mavcom bimbang penggabungan sedemikian akan memberi kesan kepada pasaran dalam jangka masa panjang dan ini boleh memberi impak negatif kepada pengguna Malaysia berikutan mereka mungkin menerima kadar tambang yang lebih tinggi, kekerapan dan pilihan yang berkurangan serta kualiti perkhidmatan yang merosot disebabkan tahap persaingan yang rendah,” katanya.

Tiada ulasan: