Khamis, 5 Mac 2020

Tuntutan rasis Dong Zong cabaran untuk kerajaan baharu

Oleh Athirah Huda Zalhe

 

Rakyat perhati...tunduk seperti kerajaan lama atau kemuka formula lain


BANGI – Kerajaan baharu – diketuai Tan Sri Muhyiddin Yassin – diingatkan bertindak tegas dalam menjalankan sebarang polisi tanpa tunduk kepada desakan kumpulan radikal Cina, Dong Jiao Zong (Dong Zong).

Presiden gerakan Islam, Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA), Haji Aminuddin Yahaya menyifatkan tuntutan dan perjuangan Dong Zong sebagai salah satu cabaran kepada kerajaan, yang akan melihatkan sejauh mana keseriusan Perikatan Nasional dalam menyatupadukan semula rakyat.

Beliau berkata, rakyat akan terus memerhati gerak-geri pemerintahan baharu sama ada masih seperti kerajaan lama yang tunduk dengan sikap Dong Zong, atau mengemukakan formula lain untuk menyelesaikan masalah berkaitan desakan pertubuhan itu.

“Dahulu Tun Dr Mahathir Mohamad pernah mengemukakan cadangan Sekolah Wawasan untuk menyatukan kaum, tetapi tidak mendapat sambutan daripada kaum Cina.

“Perkara ini harus dibangkitkan semula supaya segala kekeliruan dapat diatasi,” katanya kepada Ismaweb.net, hari ini.

Beliau berkata demikian mengulas kenyataan beberapa pemimpin Dong Zong yang bertegas untuk terus menjuarai isu pendidikan Cina, walaupun pemerintahan negara tidak lagi ditadbir Pakatan Harapan (PH).

Memetik laporan akhbar berbahasa Cina, Pengerusi Dong Zong, Tan Tai Kim berkata, pertubuhan itu akan terus memperjuang beberapa isu berkaitan pendidikan Cina sebagai mana ketika pemerintahan PH sebelum ini, dan turut mahukan kerajaan baharu bertindak adil terhadap mereka.

Tai Kim berkata, Dong Zong juga berharap menteri pendidikan yang bakal dilantik – daripada kerajaan Perikatan Nasional – dapat berlaku adil kepada perkembangan pendidikan Cina.

Berharap kerajaan tidak tunduk dengan kumpulan pendesak itu, Aminuddin berkata, 22 bulan pemerintahan kerajaan dahulu adalah manifestasi kepada perpecahan kaum yang sukar dibaiki jika ianya berlanjutan.

“Sebagai sebuah masyarakat majmuk, keharmonian hubungan antara kaum sangat kritikal. Inilah masanya untuk kerajaan baharu menyatupadukan semula rakyat daripada peringkat sekolah supaya negara terus makmur dan perpaduan rakyat kekal utuh,” katanya.


Tiada ulasan: