Perbalahan punca dari masalah sama, tidak sabar dan gila kuasa

KEMELUT
politik negara berlaku selama seminggu baru-baru ini sangat
menggusarkan rakyat kerana seolah-olah pertembungan dan perebutan kuasa
antara Tun Dr Mahathir dan Datuk Seri Anwar Ibrahim ini menemui jalan
buntu.
Alhamdulillah,
atas kebijaksanaan Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, kemelut
ini selesai dengan aman di mana kedua-dua tokoh yang berebut kuasa itu
terlepas segalanya, bak kata pepatah “yang dikejar tak dapat, yang
dikendong berciciran”.
Pertama
sekali, sebenarnya semua orang tahu dan sedar jika kedua-dua ‘topgun’
Pakatan Harapan ini tidak ‘bergaduh’ maka Pakatan Harapan mungkin akan
kekal memerintah sehingga sekurang-kurangnya sebelum Pilihan Raya Umum
ke-15 (PRU-15).
Tun
Mahathir yang merupakan Perdana Menteri sewaktu itu saban hari dihimpit
dan ditekan dengan desakan agar menyerahkan jawatannya kepada Anwar
Ibrahim sehingga Tun rasa sangat tertekan tatkala pentadbirannya itu
sedang bergelut dengan pelbagai isu terutamanya isu ekonomi. Perletakan
jawatan Tun sebagai Perdana Menteri secara tiba-tiba memang berpunca
dari tekanan ini.
Selain
itu, perpecahan dalaman Parti Keadilan Rakyat (PKR) iaitu kerana
pertembungan dua tokoh parti, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Datuk Seri
Azmin Ali adalah penyumbang terbesar kepada ranapnya pemerintahan
Pakatan Harapan. Secara umumnya, perpecahan tersebut berpunca dari akar
masalah yang sama iaitu tidak bersabar dan gila kuasa.
Satu kem
‘tidak sabar’ iaitu yang mahu Tun Mahathir serah jawatan segera manakala
satu lagi kem ‘bersabar’ iaitu mahu menyokong Tun Mahathir demi
kestabilan dan kelangsungan kuasa blok kerajaan. Pergaduhan tersebut
sangat dahsyat dan kotor di mana kedua-dua kem saling ‘londeh-melondeh’
antara satu sama lain. Hakikatnya, mereka sebenarnya ‘membunuh diri’
sahaja.
Itu belum
lagi mahu dibincangkan mengenai pendirian parti-parti komponen Pakatan
Harapan yang lain mengenai pertembungan Mahathir-Anwar ini.
Masing-masing mempunyai pendirian yang berubah-ubah, berbelah bahagi dan
‘depan cakap lain, belakang cakap lain. Akhirnya, masing-masing tidak
jelas akan hala tuju Pakatan Harapan, dan akhirnya gagal menentukan hala
tuju negara kerana sibuk berpolitik. Ini membuatkan rakyat rasa
menyampah dan marah.
Jadi,
janganlah menafikan bahawa kemusnahan Pakatan Harapan ini berpunca dari
pemimpin-pemimpin Pakatan Harapan itu sendiri yang tamak dan gilakan
kuasa. Maka, istilah ‘khianat’ atau ‘pengkhianat’ tidak patut timbul
sama sekali. Janganlah salahkan orang lain, masa untuk refleksi diri.
Yang
di-Pertuan Agong sudah beri masa yang cukup kepada Pakatan Harapan untuk
selesaikan kemelut yang dilakukan oleh mereka sendiri tetapi
dipersia-siakan sahaja. Maka, jauh sekali untuk kesalahan itu diletakkan
pada Agong kerana saya kira memang Tuanku telah menjalankan tugasnya
dengan penuh berwibawa, bijaksana dan berhikmah.
Tidak
perlulah turun ke jalanan dan berdemonstrasi untuk menyanggah keputusan
Tuanku ini kononnya ‘demokrasi sudah mati’ dengan membawa pelbagai
naratif palsu. Tunggu sahaja Parlimen buat undi tidak percaya atau
beberapa tahun lagi untuk PRU-15 nanti.
Rakyat
sudah penat menyaksikan sandiwara dan siri-siri pergaduhan politikus
yang tidak berkesudahan. Masa untuk tumpukan perhatian kepada
pembangunan negara yang kita cintai ini.
*Haji Aminuddin Yahaya- Presiden ISMA
Tiada ulasan:
Catat Ulasan