Rabu, 18 Mac 2020

COVID-19: 40 kertas siasatan dibuka sebar berita palsu

tyrazalhe

 

Henti muat naik, kongsi kenyataan tidak wajar di media sosial


BANGI – Sebanyak 40 kertas siasatan dibuka di seluruh negara berkaitan penyebaran khabar angin dan berita tidak sahih mengenai penularan COVID-19 di media sosial sejak 25 Januari hingga semalam.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Polis Diraja Malaysia (PDRM), Datuk Huzir Mohamed berkata, kes diklasifikasikan di bawah Seksyen 505 (b) Kanun Keseksaan (KK) dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia (AKMM) 1998.

Beliau berkata, daripada semua kertas siasatan, 11 kes telah dituduh di bawah Seksyen 505 (b) KK, tiga kes diputuskan sebagai ‘No Further Action (NFA)’ oleh timbalan pendakwa raya dan 26 kes masih dalam siasatan polis.

“PDRM menggesa orang ramai untuk menghentikan sebarang kenyataan atau pun artikel yang tidak sewajarnya dimuat naik atau dikongsi di laman sosial dan sebagainya.

“Ia dikhuatiri akan menimbulkan kerisauan dan mencetuskan kegentaran di kalangan masyarakat,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Huzir turut mengingatkan bahawa tindakan memuat naik kenyataan atau artikel berkaitan perkara berkenaan boleh mengakibatkan satu siasatan di bawah Seksyen 233 AKMM 1998 dijalankan.

“PDRM juga tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan terhadap mana-mana individu yang didapati dengan sengaja mensensasikan isu berkenaan,” katanya.


Tiada ulasan: