Selasa, 11 Februari 2020

Umno belum buat keputusan usul sokong PM, kata Mat Hasan

HASPAIZI ZAIN



Umno belum membuat sebarang keputusan berhubung usul menyokong Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad yang akan dibawa PAS pada sidang Parlimen Mac ini.

Bagaimanapun Timbalan Presiden Umno, Mohamad Hasan, berkata beliau telah dimaklumkan mengenai perkara itu oleh Timbalan Presiden PAS, Tuan Ibrahim Tuan Man.

Jelasnya, perkara itu akan dibawa kepada pengetahuan parti dan pendirian mengenainya akan dibuat bila tiba masanya.

"Itu dibentang oleh PAS... Tuan Ibrahim, kita pun nak tahu apa bendanya, (telah) dibentangkan dan Umno ambil maklum.

"Kita akan bincang juga di peringkat parti, kita akan buat keputusan bila sampai masanya.

"Tak timbul pasal sokong tak sokong, kita ambil maklum, usul belum dibawa lagi, sebarang keputusan akan dibuat bila benda itu berlaku," katanya ketika ditemui selepas mesyuarat Jawatankuasa Induk Perunding Muafakat Nasional di Menara Dato Onn, Kuala Lumpur, lewat malam tadi.

Hadir sama, Tuan Ibrahim dan Setiausaha Agung Umno, Annuar Musa serta Setiausaha Agung PAS, Takiyuddin Hassan.

Sabtu lalu,Tuan Ibrahim memaklumkan PAS akan membawa ‘usul undi percaya’ dalam Dewan Rakyat bagi menyokong agar Mahathir kekal sebagai perdana menteri sehingga habis penggal.

Keputusan itu diambil setelah terdapat beberapa pihak yang “menggembar-gemburkan rasa tidak puas hati” terhadap kepimpinan perdana menteri, namun sehingga kini, tiada usul undi tidak percaya yang dibuat oleh mana-mana pihak.

Pakatan Nasional itu apa?

Tambahnya lagi, usul itu adalah bagi mengakhiri kemelut berhubung peralihan kuasa perdana menteri yang dakwa mereka “telah mengganggu kestabilan politik dan ekonomi” selain mengganggu perdana menteri untuk terus mentadbir negara.

“Usul ini sangat perlu dibincang supaya kita boleh tengok sejauh mana perdana menteri mendapat sokongan daripada ahli-ahli parlimen,” kata Tuan Ibrahim.

Sementara itu, Mohamad ketika ditanya sama ada mesyuarat malam tadi turut membincangkan spekulasi Pakatan Nasional yang dikaitkan kerjasama antara Umno dan Bersatu.

Bekas menteri besar Negeri Sembilan itu berkata, mesyuarat berkenaan hanya membincangkan isu yang berkait dengan Muafakat Nasional.

"Pakatan Nasional itu apa? Tak tahu pula saya, tak pernah bincang pasal Pakatan Nasional, kita Muafakat Nasional," katanya ringkas.

Isu Pakatan Nasional meletus apabila bekas anggota Majlis Tertinggi Umno, Lokman Noor Adam mendakwa Presiden Umno, Ahmad Zahid Hamidi ingin membawa parti itu bekerjasama dengan Bersatu.

Dalam satu kenyataan Lokman mengepilkan rakaman audio yang didakwa menggambarkan percubaan Zahid untuk meyakinkan pemimpin parti bekerjasama dengan perdana menteri.

Pada 7 Feb lalu, Umno memutuskan menggugurkan keanggotaan Lokman ekoran kritikannya terhadap kepimpinan parti itu.


Tiada ulasan: