Satu lagi kes positif novel koronavirus 2019 (2019-nCoV) dilaporkan membabitkan seorang lelaki tempatan berusia 31 tahun yang mempunyai sejarah perjalanan melawat China, kata Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah.
Beliau berkata lelaki tersebut yang bekerja di Macau, China kembali ke Malaysia pada 1 Feb lepas.
Dr Noor Hisham berkata individu terbabit mula merasa tidak sihat dan batuk pada 3 Feb lepas dan telah pergi ke klinik dan diberi ubat pada 4 dan 6 Feb.
Katanya setelah disaring dan disiasat, lelaki itu dikesan mengalami radang paru-paru (pneumonia) dan telah dimasukkan ke hospital tersebut sebelum pemeriksaan seterusnya mendapati lelaki itu menghidap jangkitan pernafasan akut teruk (SARI) dan memerlukan pemantauan rapi.
"Beliau seterusnya telah dirujuk dengan segera ke Hospital Sungai Buloh. Pihak hospital sudah pun memulakan rawatan dan menjalankan siasatan lanjut. Sampel klinikal pesakit telah diambil dan pada 9 Feb telah disahkan positif 2019-nCoV," katanya.
Beliau turut menasihatkan penduduk di daerah Banting agar bertenang memandangkan Kementerian Kesihatan (KKM) telah mengambil tindakan sewajarnya dan akan memaklumkan perkembangan terkini dari semasa ke semasa.
Sehingga semalam, angka keseluruhan jangkitan koronavirus dalam negara berjumlah 17 kes.
Ia membabitkan tujuh kes dalam kalangan pesakit dalam siasatan (PUI) jangkitan, lapan kes dalam kalangan kontak rapat dan dua kes dalam kalangan rakyat Malaysia yang dibawa pulang dengan Misi Bantuan Kemanusiaan.
KKM turut menyeru orang ramai agar menghubungi hotline CPRC Kebangsaan di talian 03-88810200, 03-88810600 atau 03-88810700 bagi mendapatkan maklumat lanjut berhubung sesuatu kejadian penyakit.- Bernama
Tiada ulasan:
Catat Ulasan