Selepas lebih seminggu kontroversi pemergiannya ke kota suci Makkah hangat diperkatakan, usahawan kosmetik Nur Sajat memohon maaf secara terbuka kepada seluruh rakyat Malaysia.
Menerusi video yang disiarkan di laman Facebook Aliff Syukri Terlajak Laris hari ini, dia membuat permohonan maaf itu termasuk bagi pihak ibu dan bapanya yang turut terpalit dalam kontroversi itu.
“Saya minta maaf. Bagi pihak mak ayah saya, anak saya. Bagi pihak rakan-rakan saya, saya minta maaf sangat-sangat.
“Apapun saya minta maaf kepada semua jabatan agama, mufti, ustaz, PU (peserta program Pencetus Ummah), alim ulama, saya minta maaf sangat-sangat. Saya tidak ada tujuan apa-apa,” kata Sajat yang mengenakan tudung berwarna hitam.
Pada 2 Februari lalu, Sajat atau nama sebenarnya Muhammad Sajat Kamarul Zaman memuat naik gambarnya menunaikan ibadat umrah bersama keluarganya di Instagram.
Ia membangkitkan kemarahan ramai pihak terutama dengan penampilannya yang memakai telekung ketika menjalani ibadah itu.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri Mujahid Yusof Rawa menyifatkan Sajat sebagai mencemarkan imej Islam manakala Mufti Perlis Dr Mohd Asri Zainul Abidin berkata tindakannya salah di sisi agama dan perlu dinasihati.
Menurut
Mufti Wilayah Persekutuan Dr Zulkifli Mohamad pula berkata wajib untuk
golongan transgender menunaikan ibadah umrah mengikut jantina asal
mereka.
Mengakui dirinya memang kurang pengetahuan
dalam ilmu agama, Sajat berkata pemergiannya ke Makkah dan Madinah
tiada niat lain selain mendekatkan diri dengan Tuhan.
"Saya orang yang tak lepas daripada dosa, tak lepas daripada salah... di sana ada keinsafan. Bila saya pergi sana...saya memang nak belajar. Saya nak dekatkan diri dengan Islam,” katanya lagi.
Sajat berkata dia kesal dengan sikap warga maya yang mengecam niatnya yang mahu menunaikan ibadat.
"...Kadang-kala saya fikir diri saya begini, apa yang mereka (warga maya) nak menghukum saya sampai macam ni?
“Kalau dulu saya jauhkan diri dengan agama, adakah mereka nak saya buang balik agama? Saya sedih, kenapa orang macam saya tak layak ke rumah Allah?” katanya lagi.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan