PKR akan membincangkan isu Pengajaran dan Pembelajaran Sains
dan Matematik dalam bahasa Inggeris (PPSMI) dalam mesyuarat parti itu,
kata Setiausaha Agong PKR Saifuddin Nasution Ismail.
"PKR bermesyuarat setiap minggu jadi kami akan membincangkan perkara ini segera.
"Perkara ini baru sahaja diumumkan oleh perdana menteri," katanya kepada pemberita pada Majlis Rumah Terbuka Tahun Baru Cina PKR peringkat Kebangsaan di Padang Kota Lama, di George Town malam ini.
Saifuddin Nasution berkata demikian ketika diminta mengulas berhubung cadangan Dr Mahathir yang mahu mengembalikan semula PPSMI sedangkan PKR satu ketika dahulu membantah serta menggesa memansuhkan PPSMI.
"Biar depa (mereka) bincangkan (PPSMI) di kabinet," katanya yang enggan mengulas lanjut.
Perdana menteri semasa mesyuarat khas bersama Kumpulan Pengurusan Kementerian Pendidikan Malaysia di Putrajaya semalam menekankan tentang perlunya menggunakan bahasa Inggeris dalam pengajaran Sains dan Matematik.
Dr Mahathir, yang juga pemangku Menteri Pendidikan, berkata ini adalah sejajar dengan hasrat kerajaan untuk menggalakkan penggunaan bahasa Inggeris dan penguasaan bahasa itu dalam sistem pendidikan negara.
Dasar PPSMI yang diperkenalkan pada 2003 telah digantikan dengan dasar Memartabatkan Bahasa Malaysia Memperkukuh Bahasa Inggeris (MBMMBI) secara berperingkat mulai 2010.- Bernama
Tiada ulasan:
Catat Ulasan