Zylan Moha
KUALA
LUMPUR – Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia Datuk Dr Asyraf
Wajdi Dusuki menggesa Ketua Armada Syed Saddiq Abdul Rahman bertanyakan
kepada kepimpinan Pakatan Harapan (PH) ketika menjadi kerajaan mengapa
rakyat resah dan gelisah akibat krisis politik yang menyebabkan negara
tidak stabil dan ekonomi tergugat.
“Saudara patut tanya kenapa ini berlaku kepada pemimpin-pemimpin PH terdahulu.
“Semuanya angkara kerakusan dan ketamakan untuk berkuasa, berebut
takhta Perdana Menteri sejak awal berkuasa sehinggalah runtuhnya
kerajaan PH secara rasmi yang memangsakan rakyat,” katanya dalam satu
video yang disiarkan di Facebook.
Dr
Asyraf berkata demikian membidas pendirian Ahli Parlimen Muar itu di
dalam Twitternya yang menolak kerjasama partinya Parti Pribumi Bersatu
Malaysia (Bersatu) bersama parti yang dituduhnya sebagai parti yang
menyalahguna kuasa dan tidak berintegriti bagi menentukan Perdana
Menteri Kelapan.
Seterusnya, Dr Asyraf turut bersetuju dengan Syed Saddiq bahawa
rakyat berhak mendapat negara yang lebih baik dan itulah pendirian tegas
Barisan Nasional (BN) dan Muafakat Nasional.
“Benar saudara kata, rakyat berhak negara yang lebih baik. Sebab
itulah kami pemimpin-pemimpin UMNO, Muafakat Nasional, PAS dan BN
bersetuju untuk menyerahkan kembali mandat ini kepada rakyat dengan
pembubaran Parlimen.
“Namun kami menjunjung hormat titah Seri Paduka Baginda Yang
di-Pertuan Agong agar kami dapat berbincang supaya dapat dielakkan
(pembubaran Parlimen) kerana maslahah yang lebih besar.
“Sebab itulah kami berjiwa besar sanggup menyokong cadangan Tan Sri
Muhyiddin (Presiden Bersatu) sebagai Perdana Menteri. Tetapi kami tidak
akan sesekali bersekongkol dengan pemimpin-pemimpin bak kata pepatah
‘ayam berkokok berderai-derai, namun ekor bergelumang tahi’,” tegasnya
lagi.
Justeru itu, Dr Asyraf juga mengalu-alukan Syed Saddiq kembali kepada
PH yang kini terkenal sebagai sebuah parti yang penuh hipokrasi.
“Saudara, kalau saudara ingin kembali kepada mereka, yang kononnya
pejuang rakyat tetapi menipu rakyat, kononnya bersih tetapi hakikatnya
penuh dengan rasuah di mana kes rasuah terowong, kes rasuah banglo boleh
ditarik begitu sahaja oleh bekas Peguam Negara.
“Justeru, kalau saudara ingin kembali kepada mereka silakan, tetapi
nasihat saya daripada ‘hidup bercerminkan bangkai, lebih baik mati
berkalang tanah’,” tambahnya. – UMNO ONLINE
LIHAT VIDEO DI SINI
Tiada ulasan:
Catat Ulasan