Majoriti daripada 13 ketua Pemuda PKR (AMK) peringkat cabang
di Pulau Pinang dalam suatu kenyataan hari ini menyuarakan sokongan
terhadap Timbalan Ketua Cabang Permatang Pauh Dr Afif Bahardin yang
didakwa melakukan 'sabotaj' terhadap parti itu.
Mereka berkata "tindakan Lembaga Disiplin Parti Keadilan Rakyat yang mengeluarkan surat tunjuk sebab kepada Dr Afif Bahardin merupakan satu tindakan yang berat sebelah dan sangat mengecewakan."
"Justeru, kami berpendirian untuk kekal bersama dan menyokong Dr Afif Bahardin dalam mendepani tuduhan yang tidak berasas ini dan menolak sebarang bentuk diskriminasi kuasa yang dilakukan oleh Lembaga Disiplin Keadilan terhadap (beliau)," kata kenyataan itu lagi.
Ketua AMK cabang yang menandatangani kenyataan tersebut ialah Ketua AMK Cabang Bukit Mertajam Mohd Ikhwan Nasser Mohamad Isa, Ketua AMK Cabang Bagan Mohamad Akmal Azhar, Ketua AMK Cabang Tanjong Ahmad Al- Farooqi Haja Mohideen, Ketua AMK Bukit Gelugor Hari Krishnan, Ketua AMK Cabang Jelutong Muhamad Nayim Othuman Mydin, Ketua AMK Batu Kawan Ashokumar Subramaniam dan Ketua AMK Nibong Tebal Muhammad Firdaus Othman.
Pada 20 Feb lalu, Dr Afif yang juga bekas timbalan ketua
AMK, menzahirkan rasa terkilannya selepas menerima surat tunjuk sebab
daripada lembaga disiplin, mendakwanya melakukan kesalahan ketika
kongress tahun lepas yang berlangsung di Pusat Dagangan Antarabangsa
Melaka (MITC), Ayer Keroh, pada 6 Dis tahun lepas.
Afif dilihat menyokong Timbalan Presiden PKR Mohamed Azmin Ali secara terbuka.
Azmin dan Presiden PKR Anwar Ibrahim dilaporkan bertelagah berhubung isu peralihan kuasa jawatan perdana menteri kelapan.
Lembaga Disiplin PKR menuduh Afif terbabit "aktiviti sabotaj dengan mencetus dan/ atau bersekutu untuk menimbulkan rusuhan dan pergolakan pada Kongres Nasional AMK 2019."
Notis Tunjuk Sebab PKR itu bertarikh 20 Feb dan ditandatangani Pengerusi Lembaga Displin PKR, Ahmad Kasim.
Kongres berkenaan berlangsung di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), Ayer Keroh, pada 6 Dis tahun lepas.
Bagaimanapun, Afif yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pertanian dan Industri Asas Tani,
Pembangunan Desa dan Kesihatan Pulau Pinang ketika ditanya pemberita menafikan dakwaan itu.
Menurut Afif, beliau tidak lagi berada dalam barisan kepemimpinan parti dan kehadirannya ke kongres itu hanya sebagai pemerhati yang telah diberikan pelepasan oleh sekretariat parti.
"Jadi, saya diberi tuduhan oleh lembaga disiplin, saya pun tidak tahu apakah motifnya dan siapakah yang melakukan aduan.
"Saya tak tahu dan soalan ini harus ditujukan kepada parti dan lembaga disiplin," katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan