Jumaat, 28 Februari 2020

Parlimen Bukan Forum Melantik PM – Tok Mat





KUALA LUMPUR– Timbalan Presiden UMNO Datuk Seri Mohamad Hasan berkata Parlimen bukan forum untuk melantik Perdana Menteri.

Ujarnya dalam satu kenyataan ringkas di platform media sosial, semua pihak harus menghormati kearifan Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong (YDPA) dan tidak mendahului Tuanku dalam apa jua keadaan pun.

“Insya-Allah kebijaksanaan baginda akan kita jadikan pedoman dalam perkara ini,” tambahnya.

Dilaporkan semalam, Perdana Menteri Interim Tun Dr Mahathir Mohamad berkata satu persidangan khas di Dewan Rakyat akan diadakan Isnin ini bagi menentukan calon Perdana Menteri, ekoran krisis politik ciptaan Pakatan Harapan (PH).

Bagaimanapun pelbagai pihak mengkritik tindakan Tun Dr Mahathir itu yang dilihat tidak mengikut lunas Perlembagaan Persekutuan dan amalan persidangan, selain mendahului YDP Agong yang masih belum menitahkan pemakluman rasmi setelah bertemu dengan kesemua Ahli-ahli Parlimen di Istana Negara beberapa hari lalu berhubung kemelut perlantikan Perdana Menteri.

Justeru itu ulas Mohamad yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rantau, situasi politik negara kini semakin meruncing dan mesti segera diselesaikan.

“Penyelesaiannya mestilah selari dengan keluhuran perlembagaan.

“Telah tiba masanya kita menyerahkan kepada kearifan Yang Di Pertuan Agong, seperti yang diperuntukkan dalam perlembagaan untuk memberikan jalan keluar dan melakukan yang terbaik untuk Malaysia,” katanya lagi. – UMNO ONLINE

Tiada ulasan: