UMNO ONLINE
KUALA
LUMPUR– Apa sudah jadi… Naib Ketua Pemuda UMNO Selangor Amin
Shukor membidas tindakan Jabatan Peguam Negara yang membuat keputusan
memberhentikan prosiding undang-undang terhadap 12 lelaki warga tempatan
yang berdepan tuduhan menyokong kumpulan pengganas, Harimau Pembebasan
Tamil Eelam (LTTE).
Jelas beliau, tindakan Peguam Negara, Tan Sri Tommy Thomas ini bukan
sahaja mencalar imej perundangan negara tetapi juga imej Polis diRaja
Malaysia (PDRM).
“Alasan
Tommy keputusan itu dibuat selepas mendapati tiada prospek jelas untuk
sabitan terhadap semua tertuduh dengan mana-mana 34 pertuduhan yang
dihadapi mereka tidak dapat diterima sama sekali.
“Tindakan ini juga sekaligus secara tidak langsung akan menyebabkan semakin ramai berani untuk terlibat dengan pengganas.
“Kononnya memang kelaziman untuk mempunyai idola dan bukan sekadar
bintang pop, ahli sukan atau pelakon. Kalau itu alasan yang diberi,
bagaimana pula dengan kes Aisyah yang dipenjarakan kerana mempunyai buku
berkaitan IS? Seorang juruteknik dan seorang peniaga turut dipenjarakan
kerana mempunyai buku dan video berkaitan IS? Kenapa ada unsur pilih
kasih?,” ujar beliau kepada UMNO-Online.
Tambah Amin, setelah pihak PDRM bekerja keras cuba membenteras
kegiatan pengganas di negara ini, Tommy pula cuba ‘menyalahguna kuasa’
dengan membebaskan mereka begitu sahaja.
“Ini adalah satu tamparan hebat kepada pihak berkuasa yang
bersungguh-sungguh menjaga keamanan negara tetapi akhirnya kerja mereka
ini sia-sia hanya kerana ada campur tangan politik. Ini benar-benar
menghina PDRM.
“Apa akan jadi dengan keselamatan negara jika perkara ini berterusan?
Adakah keselamatan negara dan rakyat tidak penting di mata pemimpin
sekarang ini?
“Jangan sesekali isu ini dilihat dari aspek sentimen perkauman tetapi
yang amat merisaukan saya adalah keselamatan negara dan rakyat.
Kerajaan PH melalui Peguam Negara telah memperjudikan keselamatan
seluruh rakyat Malaysia,” bidas beliau.
Untuk rekod, pada 2016, seorang pelajar sebuah institut kemahiran
dihukum penjara dua tahun oleh Mahkamah Tinggi, selepas mengaku bersalah
memiliki bendera berkaitan kumpulan militan IS.
Pada April 2017, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menjatuhkan hukuman
penjara lima tahun ke atas Aishah kerana didapati bersalah atas dakwaan
memiliki 12 buku mempromosi fahaman militan.
Tahun yang sama, seorang juruteknik dijatuhi hukuman penjara tiga
tahun enam bulan oleh Mahkamah Tinggi atas pertuduhan memiliki 29 imej
dan tiga video berkaitan kumpulan pengganas IS.
Hakim Datuk Mohd Sofian Abd Razak yang menjatuhkan hukuman itu
terhadap Ahmad Taufiq Abdul Latif, 27, berkata walaupun imej dan video
yang disimpan itu adalah untuk tontonan sendiri tetapi ia tetap menjadi
kesalahan.
2018, seorang peniaga dihukum penjara 4 tahun oleh Mahkamah Tinggi
kerana memiliki 27 naskhah majalah mempunyai kaitan dengan kumpulan
pengganas IS tahun lalu. – UMNO ONLINE
Tiada ulasan:
Catat Ulasan