Rabu, 26 Februari 2020

Anwar enggan jumpa media, pemimpin lain kunci mulut

Kasthuri Jeevendran
MGF24022020_MESYUARAT-KHAS-PKR_22
Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim pulang dari Istana Negara tiba di Ibu Pejabat Parti Keadilan Rakyat, Petaling Jaya. foto AFIQ RAZALI
 

KUALA LUMPUR – Walaupun malam tadi media telah diberikan undangan akan ada sidang media selepas Mesyuarat Tergempar Majlis Presiden Pakatan Harapan hari ini, namun lain pula jadinya.

Rata-rata media yang sudah berkampung di Ibu Pejabat PKR di Merchant Square, Tropicana seawal 9 pagi tadi untuk mengikuti perkembangan susulan mesyuarat pimpinan PH itu.

Bagaimanapun, agak mengecewakan apabila secara tiba-tiba sahaja, Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng terus pulang sekitar 7.45 malam tadi.

Kedua-duanya mengunci mulut dan berjalan dengan tergesa-gesa, tidak mahu di temuramah pada masa ini.

Peliknya, mengikut jadual mesyuarat tergempar hanya bermula sekitar 7 malam tadi dan sidang media akan diadakan antara 9.30 hingga 10 malam ini.

Selain daripada Anwar dan Guan Eng, Datuk Seri Wan Azizah, Datuk Seri Mujahid Rawa yang ditemui juga enggan bercakap.

Wajah mereka juga tidak begitu ceria dan seolah-olah begitu tegang sehingga tidak mahu berkata apa-apa.

Bagaimanapun, Pengarah Komunikasi PKR, Fahmy Fadzil hanya menghantar pesanan dalam group sosial Whatsapp yang mengatakan pihaknya akan menghantar satu kenyataan media sebentar lagi.

Media masih lagi menunggu sekiranya ada lagi pimpinan bermesyuarat dan belum keluar lagi dari ibu pejabat PKR ketika ini. – MalaysiaGazette

Tiada ulasan: