Sokong kebijaksanaan Baginda Tuanku selesai kemelut politik negara
BANGI –
Melihat kemelut politik yang belum ada titik noktah,
Pertubuhan-Pertubuhan Pembela Islam (PEMBELA) melancarkan petisyen
mendesak pembubaran Parlimen sekali gus mengadakan Pilihan Raya Umum
(PRU), bagi menyerahkan kembali mandat kepada rakyat.
Pengerusi PEMBELA, Haji Aminuddin Yahaya
dalam kenyataan berkata, pihaknya memberi sokongan penuh kepada Seri
Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, Al Sultan Abdullah Ri’ayatuddin
Al-Mustafa Billah Shah dalam menyelesaikan kemelut politik yang sedang
melanda negara.
“PEMBELA berdiri teguh untuk mendukung
ikhtiar Seri Paduka Baginda Tuanku dalam menjalankan amanah dan
tanggungjawab besar menguruskan situasi negara.
“Sebagaimana termaktub kemas dalam
Perlembagaan Persekutuan, PEMBELA percaya bahawa segala keputusan yang
dibuat oleh DYMM Tuanku adalah untuk memastikan kepentingan Islam
sebagai Agama Negara, kedudukan orang Melayu dan Bumiputra serta hak
warganegara Malaysia yang lainnya tidak terjejas,” katanya.
Selain itu, PEMBELA penuh rendah hati
dan takzim tanpa had waktu bersedia untuk menyembahkan suara rakyat agar
Seri Paduka Baginda Tuanku mendapat perspektif sebenar di lapangan.
“Sekiranya keadaan tergantung tanpa
sebarang sokongan majoriti bagi calon PM maka, PEMBELA dengan penuh
tawaduk berpandangan bahawa pembubaran Parlimen adalah jalan terbaik
supaya jemaah menteri baharu dengan mandat yang lebih kukuh dan stabil
dapat dilantik,” kata Haji Aminuddin.
Petisyen yang dilancarkan pada Khamis
sudah memperoleh hampir 1,000 tandatangan. Orang ramai boleh
menandatangani petisyen itu dengan melayari platform change.org.
(https://www.change.org/p/yang-di-pertuan-agong-ydpa-bubar-parlimen-untuk-selesaikan-kemelut-politik-malaysia-dan-adakan-pilihanraya-umum).
Semalam, Perdana Menteri Interim, Tun Dr
Mahathir Mohamad memaklumkan, Dewan Rakyat pada 2 Mac (Isnin) akan
memilih Perdana Menteri yang baharu.
Perkara itu diputuskan selepas Yang
di-Pertuan Agong tidak menemui mana-mana individu memperoleh majoriti
yang jelas untuk dilantik sebagai Perdana Menteri yang baharu.
“Dan kerana tiada yang ada majoriti
jelas, (Tuanku) kata ruang yang sesuai adalah Dewan Rakyat. Maka
Parlimen akan bersidang pada 2 Mac… siapa yang ada sokongan majoriti di
Parlimen akan menjadi Perdana Menteri.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan