Khamis, 27 Februari 2020

Ahli Parlimen PH jelaskan mengapa tak dapat terima k'jaan baru Dr M

MALAYSIAKINI




Ahli Parlimen Serdang, Ong Kian Ming hari ini menjelaskan Pakatan Harapan (PH) tidak dapat menerima hasrat Dr Mahathir Mohamad untuk menubuhkan kerajaan melangkaui batas parti kerana ia bertentangan dengan manifesto pilihan raya umum 14.

Menurutnya, memandangkan sebelum ini perdana menteri sementara itu telah menolak untuk mempengerusikan mesyuarat Majlis Presiden PH, maka tindakan mereka mencalonkan Presiden PKR, Anwar Ibrahim merupakan satu-satuya pilihan yang ada.

“Kami berterima kasih kepada @chedetofficial (Mahathir) kerana tidak bersetuju untuk menubuhkan kerajaan bersama Umno dan PAS atas dasar pendirian. Sebab inilah kami memintanya untuk menubuhkan satu kerajaan PH yang baru.
Iklan
“Tetapi apabila beliau memaklumkan kepada pemimpin PH yang beliau mahu menubuhkan kerajaan melangkaui batas parti (government of individuals not of parties), ia jelas ia merupakan cadangan yang tidak dapat dilaksanakan.

“Kerajaan baru ini tidak seperti manifesto PRU14 dan ia menentang mandat yang diberikan oleh rakyat pada PRU14,” ciapnya di Twitter hari ini.

Semalam, PH mengesahkan mencalonkan Anwar sebagai perdana menteri berdasarkan keputusan yang dicapai sebulat suara, selepas Mahathir tidak bersetuju mempengerusikan mesyuarat Majlis Presiden PH.

Ong yang pernah menjadi timbalan menteri perdagangan antarabangsa dan industri juga berkata, ahli parlimen Langkawi itu juga boleh memilih sesiapa sahaja yang beliau inginkan dalam kabinetnya nanti termasuk Azmin Ali, katanya sambil menyifatkan bekas timbalan presiden PKR tersebut sebagai dalang utama keruntuhan kerajaan PH.
“Ia tidak boleh diterima kepada PH dan kepada ramai di kalangan penyokong dan pengundi (PH) juga,” tulisnya.

Kerajaan PH sepatutnya dipertahankan

Sementara itu, ahli parlimen Parit Buntar, Mujahid Yusof pula berpendapat kerajaan PH sepatutnya dipetahankan dan bukannya digantikan dengan sistem kerajaan perpaduan.

“Mereka yang menggangu-gugat perpaduan dengan berbagai sabotaj kepada usaha pemulihan termasuk Lembaga Tabung Haji (TH) dan lain-lain sepatutnya diambil tindakan bukan dengan cubaan menjatuhkan kerajaan PH yang hadir untuk perpaduan atas asas ketelusan dan demokrasi.

“Mungkin apa yang Dr Mahathir sebut bahawa Kerajaan Perpaduan banyak cabarannya memang betul tetapi menafikan usaha reform selama hampir dua tahun ini atas alasan politiking adalah keterlaluan.
“Orang lain buat onar tiba-tiba PH sebagai kerajaan reform pula dikatakan gagal?” soalnya dalam satu kenyataan hari ini.

Mujahid yang pernah menjadi menteri di Jabatan Perdana Menteri sebelum ini juga berkata konsep kerajaan perpaduan oleh Mahathir masih kabur dan berpendirian kewujudan kerajaan PH disebabkan mandat yang diberikan oleh rakyat.

“Dr Mahathir menjadikan kuasa perdana menteri sebagai penentu tanpa perlu mengambil pandangan ketua-ketua parti secara konsensus untuk senarai kabinet.

“Ini adalah ironinya kehadiran PH adalah untuk mereformasikan instituisi kerajaan bagi memelihara kepentingan negara dan perpaduannya,” katanya.

Tiada ulasan: