Jumaat, 28 Februari 2020

Di sebalik Mahathir ‘ok’ pilih Muhyiddin jadi PM ke-8

Muhyiddin Yassin dan Ahmad Zahid Hamidi pernah dilantik 
sebagai timbalan perdana menteri di bawah pentadbiran Najib Razak.
 
KUALA LUMPUR: Kenyataan Dr Mahathir Mohamad “okey” jika Muhyiddin Yassin mendapat sokongan untuk menubuhkan kerajaan baru dibuat di sebalik bantahan kuat menerima pemimpin veteran itu terhadap usaha membawa pemimpin utama Umno yang berdepan pertuduhan rasuah.

Seorang sumber yang mempunyai hubungan rapat dengan puak lawan dalam PPBM berkata, Mahathir “sangat tidak gembira” dengan spekulasi Muhyiddin mahu menjadikan Presiden Umno, Ahmad Zahid Hamidi sebagai timbalan perdana menteri.

“Ini sebab kenapa Mahathir membuat sindiran biasanya semalam yang Muhyiddin baik dengan semua orang,” sumber itu memberitahu FMT.

Semalam, Mahathir mengesahkan Muhyiddin yang juga presiden PPBM, dicalonkan parti itu sebagai perdana menteri ketika bekas sekutu Pakatan Harapan itu mencari sekutu baru untuk kembali berkuasa.

“Pendirian saya adalah saya tidak akan menerima Umno, tetapi saya akan menerima mereka yang meninggalkan Umno.

“Tetapi Muhyiddin bersedia menerima mereka. Sesiapa yang menang saya akan menerima dia menjadi perdana menteri,” katanya.

Muhyiddin dan Zahid pernah menganggotai Kabinet pimpinan Najib Razak.

Susulan perselisihan Muhyiddin dengan Najib pada kemuncak isu 1MDB pada 2015, Zahid dilantik sebagai timbalan perdana menteri.

Zahid antara pengkritik paling lantang Mahathir menjelang pilihan raya umum ke-14 lalu yang menyaksikan kejatuhan kerajaan Barisan Nasional.

Pada Jun 2017, Zahid membangkitkan keturunan India Mahathir dengan menuduh pemimpin veteran itu berpura-pura memperjuangkan agenda Melayu menggunakan orang Melayu dan Umno.

Susulan kekalahan mengejut Umno pada PRU14, Zahid dilantik sebagai presiden parti itu.

Beliau kini berdepan berpuluh dakwaan rasuah membabitkan berjuta ringgit dana Yayasan Akalbudi.

Tetapi, adakah Mahathir pada usia 94 tahun mempunyai tenaga dan keazaman untuk menghalang cubaan pemimpin Umno seperti Zahid menyertai kerajaan baru?

“Keazaman ya, tetapi bukannya tenaga. Beliau mungkin perlu bergantung kepada pengikut setia lama dan individu berpengaruh yang sependapat dengannya,” kata sumber.

Itu mungkin menjelaskan kenapa 3 bekas penjawat awam tertinggi berada di luar Istana Negara pagi tadi ketika Majlis Raja-raja Melayu mengadakan mesyuarat untuk mencari penyelesaian bagi menamatkan kemelut politik sekarang.

Bekas ketua polis negara, Hanif Omar dan Musa Hassan, serta bekas yang dipertua Dewan Negara, Abu Zahar Ujang – dibenarkan memasuki istana untuk menyerahkan memorandum yang kandungannya tidak didedahkan kepada media.

Tetapi, seorang sumber boleh dipercayai berkata, mereka sudah menyenaraikan “kriteria khusus” yang mereka harap sultan akan tuntut daripada perdana menteri baru.

Antaranya ialah sesiapa yang mempunyai rekod rasuah dalam 3 dekad lalu akan dikecualikan menganggotai Kabinet baru.

“Frasa yang digunakan, walaupun saya tidak pasti jika ini terkandung dalam memorandum itu ialah ‘semua ahli Parlimen yang terpalit kontroversi dan amalan rasuah’ dikeluarkan daripada Kabinet baru,” kata sumber itu kepada FMT.

“Kumpulan itu turut menggesa menteri dilantik daripada kalangan mereka dengan rekod pengalaman kementerian yang baik, khasnya di Kementerian Kewangan.”

Terdahulu, dilaporkan Mahathir tidak bersetuju dengan Muhyiddin untuk memasukkan beberapa ahli Parlimen Umno berdepan dakwaan rasuah dalam kerajaan baru yang dicadangkan.

Percanggahan itu menyebabkan beliau meletak jawatan sebagai perdana menteri dan pengerusi PPBM, langkah yang dipuji Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng.

Lim berkata, Mahathir bertindak berdasarkan prinsip menghalang “cubaan jahat untuk mengubah dan merosakkan mandat rakyat”.

Rabu lalu, Mahathir mengesahkan spekulasi di sebalik peletakan jawatannya dengan berkata, beliau tidak mahu Umno menganggotai kerajaan.

Katanya, beliau bimbang Umno akan menguasai gabungan baru dengan PPBM dan PAS.

“Kerajaan ini akan didominasi oleh Umno sebagai parti yang terbesar.

“Saya sanggup terima ahli Umno yang keluar Umno dan menyertai parti lain. Tetapi Umno akan sertai kerajaan campuran ini sebagai Parti Umno. Ini tidak dapat diterima oleh saya. Maka terpaksalah saya letak jawatan,” kata Mahathir dalam ucapan khas yang disiarkan RTM.

Tiada ulasan: