Raja-raja Melayu akan bersidang bersama dengan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah esok sebelum solat Jumaat, menurut laporan di akhbar The Star.
Seri Paduka, sejak Selasa lalu telah berjumpa dengan semua ahli parlimen dan beberapa pemimpin parti politik. Hari ini, baginda berkenan menerima mengadap perdana menteri sementara Dr Mahathir Mohamad.
Semua ini susulan krisis politik yang menyebabkan keruntuhan kerajaan Pakatan Harapan.
Seorang jurucakap Istana Negara walau bagaimanapun memberitahu Malaysiakini bahawa mesyuarat itu belum disahkan.
Kerajaan Persekutuan PH tumbang Isnin lalu berikutan pengunduran Bersatu dari PH dan peletakan jawatan Mahathir sebagai perdana menteri.
Walau bagaimanapun, PKR, DAP dan Amanah berikrar untuk tetap bersama sebagai PH dan telah menamakan Anwar Ibrahim sebagai calon perdana menteri mereka serta mengulangi komitmen mereka untuk menunaikan janji-janji yang dibuat dalam manifesto PRU-14.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan