MGF26022020_SIDANG-MEDIA-PAKATAN-HARAPAN_15-1
Presiden Parti Keadilan Rakyat, Datuk Seri Anwar Ibrahim bersama Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, Mohamad Sabu dan Setiausaha Agung Dap, Lim Guan Eng pada sidang media khas Pakatan Harapan di Ibu Pejabat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Petaling Jaya. foto AFIQ RAZALI

KUALA LUMPUR – Hanya Tun Dr Mahathir Mohamad yang akan menentukan siapa menteri-menteri Kabinet dalam kerajaan perpaduan manakala DAP dan parti-parti lain tidak akan dirunding dalam proses tersebut.

Itu rumusan DAP dalam satu kenyataan yang dikongsi kebanyakan ahli Parlimen parti itu di laman Facebook termasuk bekas Menteri Perusahaan Utama, Teresa Kok.

Menurut DAP, selepas menerima sokongan daripada semua parti untuk terus memegang jawatan perdana menteri, Dr Mahathir mengetengahkan cadangan penubuhan kerajaan perpaduan yang terdiri daripada individu.

“Ini bermakna hanya Mahathir yang akan menentukan siapa menteri-menteri Kabinet. DAP dan parti-parti lain tidak akan dirujuk dalam proses tersebut.

“Malah, cadangan Kabinet oleh Mahathir ada kecenderungan menyenaraikan personaliti-personaliti yang sama yang mencetuskan krisis ini, begitu juga ahli-ahli Parlimen dari UMNO dan PAS,” kata DAP.

Menurut kenyataan itu lagi, hasilnya yang terbentuk adalah kerajaan Mahathir dan bukannya kerajaan Pakatan Harapan, justeru janji-janji yang terkandung di dalam manifesto PH tidak ditunaikan.

Kata DAP, mereka telah menjemput Dr Mahathir untuk menghadiri mesyuarat Majlis Presiden PH untuk membincangkan keprihatinan mereka terhadap cadangan tersebut, namun Perdana Menteri Interim itu menolak.

Oleh itu, para pemimpin PH memutuskan untuk mempertahankan mandat rakyat yang diberikan kepada kerajaan PH dan menunaikan janji-janji dalam manifesto dengan mencalonkan Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai perdana menteri PH.

“Kami mengajak semua rakyat Malaysia menyokong pencalonan Anwar Ibrahim sebagai perdana menteri Malaysia yang kelapan, menghormati mandat yang diberikan pada pilihan raya umum ke-14 dan memastikan kestabilan negara yang berterusan,” kata DAP.

Kenyataan itu dimulakan dengan DAP menyatakan komitmen PH  untuk menunaikan janji-janji manifesto pilihran raya dan memelihara mandat yang diamanahka kepada mereka.

Kemudiannya mereka menyenaraikan kronologi krisis bermula dengan apa yang mereka katakan sebagai keengganan Dr Mahathir untuk bersama-sama dengan Datuk Seri Azmin Ali dan Bersatu bagi membentuk kerajaan baru bersama UMNO dan Pas iaitu pada Ahad, 23 Februari.

Perkembangan itu diikuti dengan tindakan Dr Mahathir meletakkan jawatan sebagai bantahan pada Isnin.

DAP, ketika itu, berterima kasih kepada Dr Mahathir kerana mempertahankan prinsip untuk tidak bekerjasama dengan UMNO dan menyatakan sokongan supaya beliau terus menjadi perdana menteri PH.

Dr Mahathir dalam perutusan khas hari ini berkata, beliau mahu cuba membawa pemerintahan negara yang tidak memihak kepada mana-mana parti, dengan hanya kepentingan negara sahaja yang akan diutamakan.

Artikel berkaitan: Saya mohon maaf kepada semua rakyat Malaysia – Dr Mahathir

“Politik dan parti politik perlu diketepikan buat masa sekarang. Jika dibenar, saya akan cuba adakan pemerintahan yang tidak memihak kepada mana-mana parti.

“Hanya kepentingan negara sahaja yang akan diutamakan,” kata Perdana Menteri interim itu yang turut menjelaskan punca beliau meletakkan jawatan.

Menurutnya, antara sebab utama ialah beliau tidak dapat menerima, jika parti UMNO menyertai kerajaan campuran, yang mungkin diwujudkan.

“Saya sanggup terima ahli UMNO yang keluar UMNO dan menyertai parti lain. Tetapi UMNO akan sertai kerajaan campuran ini sebagai Parti UMNO. Ini tidak dapat diterima oleh saya. Maka terpaksalah saya letak jawatan,” kata Dr Mahathir. – MalaysiaGazette