Oleh Siti Hafidah Abd Ghaffar
Ditahan guna kesalahan seperti LTTE, sokong pengganas berbeza
BANGI
– Meskipun Peguam Negara, Tan Sri Tommy Thomas mempunyai kuasa seperti
termaktub dalam Perlembagaan, beliau seharusnya memikirkan impak
menghentikan prosiding terhadap 12 individu yang berdepan pertuduhan
berkaitan Harimau Pembebasan Tamil Eelam (LTTE).
Pakar Perundangan, Prof Dr Ahmad Martadha
Mohamed berkata, isu berkenaan sensitif dan melibatkan ramai pihak,
bahkan bakal memberi kesan kepada tahanan Akta Kesalahan Keselamatan
(Langkah-langkah Khas) 2012 (SOSMA) yang lain.
“Misalnya tahanan penyokong kumpulan
pengganas Daesh. Jika kita lihat, mereka yang ditahan mempunyai
kesalahan hampir sama seperti 12 individu terbabit dengan memiliki
gambar menyatakan sokongan.
“Kita tidak mempertikaikan hak yang
termaktub dalam Perlembagaan yang digunakan peguam negara, kita
pertikaikan adalah apakah kesan dan impak daripada pembebasan 12
individu ini kepada individu lain yang ditahan dengan menggunakan
kesalahan yang sama tetapi kumpulan pengganas yang berbeza,” katanya
ketika dihubungi Ismaweb hari ini.
Terdahulu, Jabatan Peguam Negara membuat
keputusan menghentikan prosiding undang-undang terhadap 12 lelaki warga
tempatan yang berdepan tuduhan menyokong kumpulan pengganas, LTTE.
Tommy menegaskan keputusan itu dibuat
selepas mendapati tiada prospek jelas untuk sabitan terhadap semua
tertuduh dengan mana-mana 34 pertuduhan yang sedang dihadapi mereka.
Bahkan katanya, keputusan itu mengikut
Perkara 145 (3) Perlembagaan Persekutuan yang membenarkannya menjalankan
kuasa budi bicara selepas menilai kes berkenaan mengikut undang-undang.
Ahmad Martadha turut mempersoalkan sama
ada Tommy akan membebaskan mereka yang berada dalam tahanan SOSMA atas
dakwaan menyokong Daesh.
“Apakah nanti ia akan mencetuskan pula
permasalahan di kalangan anggota keselamatan yang akan terus menjalankan
tugas mereka menangkap mana-mana individu yang memberikan sokongan
terhadap kumpulan yang dilabelkan sebagai pengganas?,” soal beliau.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan