Jumaat, 28 Februari 2020

Hadi: Jangan beli wakil rakyat, tapi 'beli' rakyat

MALAYSIAKINI



PAS sekali lagi menyatakan pendiriannya agar parlimen dibubarkan bagi memberi ruang kepada rakyat membuat perhitungan melalui pilihan raya umum.

Presidennya, Abdul Hadi Awang, berkata itulah jalan terbaik buat masa ini iaitu menyerahkan perkara itu kembali kepada rakyat, lebih-lebih lagi, katanya, beliau difahamkan sudah berlaku usaha “membeli” wakil rakyat ekoran kemelut politik yang berlaku.

“Diberitakan begitulah (adanya urusan beli wakil rakyat). Baik serah kepada rakyat. Nak beli, beli rakyatlah. Jangan beli wakil rakyat, (tapi) beli rakyat.

“Rakyat nak jual diri ke, itu ikut suka rakyatlah.... Bubar parlimen,” katanya menjawab soalan pemberita pada sidang media selepas memberikan kuliah di Masjid Rusila, Marang pagi ini.

Lewat petang semalam, Dr Mahathir Mohamad memaklumkan satu sidang khas Dewan Rakyat akan diadakan pada 2 Mac nanti bagi menentukan siapa mendapat sokongan majoriti untuk menjadi perdana menteri.

Kata Dr Mahathir, setelah mendapati tidak ada pihak mempunyai majoriti mutlak untuk membentuk kerajaan, Yang di-Pertuan Agong berpandangan perkara itu wajar ditentukan di Dewan Rakyat.

"Bagaimanapun, jika Dewan Rakyat gagal mendapat seorang yang ada majoriti, kita perlu lalui pilihan raya," katanya pada sidang akhbar di Putrajaya.

Mengulas mengenai hal itu, Abdul Hadi berkata, PAS sememangnya pernah bercadang membawa usul percaya kepada Mahathir sebagai perdana menteri agar ia dibahas di Dewan Rakyat.

Bagaimanapun, katanya, usaha itu tetapi tidak mendapat persetujuan banyak pihak.

Mengapa umum lebih awal

Oleh hal yang demikian, kata ahli parlimen Marang tersebut, PAS berpandangan isu perdana menteri perlu diserahkan kepada rakyat dan parti beliau sudah bersedia untuk ia diadakan pada “bila-bila masa”.

Sementara itu, Setiausaha Agung Umno Annuar Musa menggesa semua anggota parlimen menolak sidang khas Dewan Rakyat yang pada 2 Mac nanti.

“Semua MP mesti berkata tidak untuk sidang khas 2 (Mac) seperti diumumkan IPM (perdana menteri interim). Ia tidak mengikut perlembangan, tidak mengikut prosedur dan tidak menghormati YDPA (Yang di-Pertuan Agong),” ciapnya di Twitter.

Dalam ciapan berasingan, dia menjelaskan, sidang itu wajar ditolak memandangkan tiada notis dikeluarkan mengenainya seperti yang dituntut dalam peraturan mesyuarat parlimen.

Berkongsi nada serupa dengan Annuar, Adun Semambu di Pahang, Lee Chean Chung, yang menyifatkan tindakan Mahathir mengumumkan tentang sidang khas itu melangkaui batasan kuasanya sebagai perdana menteri interim dan melanggar perlembagaan.

Kata bendahari PKR itu, Yang di-Pertuan Agong mengadakan pertemuan dengan setiap anggota parlimen bagi mengetahui calon perdana menteri mana yang mendapat sokongan majoriti.

“[...] Yang di-Pertuan Agong masih tidak mengumumkan sebarang keputusan. Yang di-Pertuan Agong mempunyai pilihan sama ada memilih calon yang memperolehi sokongan majoriti atau undian tertinggi bagi membentuk kerajaan ataupun membubarkan parlimen.

“Namun, Mahathir telah mengumumkan perkara terlebih awal dan melebihi batas kuasanya? Kenapa beliau membuat demikian?” soalnya dalam satu kenyataan.

Tambahnya lagi, berdasarkan Artikel 40 (2) dan 43 (2)(a) Perlembagaan Malaysia, hanya Agong selaku ketua negara berhak melantik calon yang dipilih oleh majoriti anggota parlimen sebagai perdana menteri, dan keputusan itu perlu diumum terlebih dahulu oleh baginda sebelum Dewan Rakyat boleh meluluskan usul tidak percaya.

“Mahathir melangkaui prosedur ini, tidak mengikuti semangat Perlembagaan dan menjejas keputusan yang akan dibuat oleh ketua negara.

“Tindakan seperti ini telah menyebabkan lebih banyak ketidakpastian dalam negara kita. Semoga mesyuarat Majlis Raja-Raja yang akan diadakan pada hari ini dapat memulihkan keadaan,” katanya.

Sementara itu, bekas ketua polis negara Hanif Omar yang menyertai rombongan NGO untuk menyerahkan “memorandum rakyat” kepada Istana Negara tadi, berpandangan pembubaran parlimen bukan penyelesaian terbaik bagi mengatasi isu pelantikan perdana menteri.

Katanya, keputusan berhubung perkara itu wajar diputuskan sendiri oleh Agong, namun dia menerima jika baginda memutuskan agar Parlimen dibubarkan.

Seorang lagi bekas ketua polis negara, Musa Hassan yang turut menyertai rombongan itu, juga menyuarakan pandangan serupa bahawa parlimen tidak wajar dibubarkan memandangkan situasi yang berlaku tidak mendatangkan sebarang ancaman kepada keselamatan negara.

LIHAT FB DI SINI


Tiada ulasan: