Sabtu, 29 Februari 2020

Muhyiddin calon PM ke-8: Berakhirkah kemelut perebutan kuasa?

DR MUHAMAD NADZRI MOHAMED NOOR




ULASAN | Saat ini, khabar angin bertiup kencang bahawa Muhyiddin Yassin akan dilantik sebagai perdana menteri ke-8. Dr Mahathir pula dikhabarkan akan dikekalkan di dalam kabinet baru sebagai menteri kanan.

Senarionya bermula apabila Muhyiddin dicalonkan oleh Bersatu sebagai PM ke-8 pada 28 Februari 2020. Sebelum itu wujud pakatan antara Bersatu dan BN di Johor yang menyebabkan penubuhan kerajaan baharu dengan Menteri Besar baharu.

Selepas itu 10 ahli parlimen (MP) dari kem Azmin dilaporkan menyertai Bersatu secara rasmi, menjadikan jumlah MP parti itu menjadi 36. Dan yang terbaharu BN dan PAS mengumumkan bahawa mereka menyokong Muhyiddin sebagai PM ke-8.

Warisan dan GPS memang agak konsisten dengan pendirian mereka untuk menyokong Mahathir, justeru khabar ini nampak masuk akal.

Apakah ini pengakhiran perebutan kerusi PM dan kerajaan sejak 23 Februari 2020 yang lalu?

Mungkin ya, dan mungkin juga tidak. Jika khabar ini menjadi realiti, saya percaya Pakatan Harapan (PH) akan bertindak balas. Pusingan kedua akan dimulakan.

Tetapi PH mungkin tidak mempunyai kedudukan yang baik untuk menterbalikkan situasi ke arah kepentingannya, kerana kesukaran untuk mendapat majoriti di parlimen.

Namun antara tindakan yang mungkin akan dilakukan oleh PH adalah dengan mengusulkan undi tidak percaya di parlimen, dan jika itu sukar atau gagal, PH dipercayai akan mendesak untuk diadakan pilihan raya yang baru.

Untungkan Bersatu?
 
Tindakan pendisiplinan juga mungkin diambil oleh PH, khasnya dengan menarik sokongan terhadap kepimpinan Bersatu di Perak dan di Kedah. Jika itu berlaku, kepimpinan Bersatu akan terkesan di sana.

Bersatu pula mungkin berbuat demikian di Melaka. PKR pula mungkin melakukan pembersihan dalam parti itu jika kompromi tidak dapat dilakukan dengan bekas pemimpin dalam kem Azmin.

Apakah hal ini menguntungkan Bersatu dengan berjaya mempertahankan kedudukan sebagai PM?

Ya, untuk jangka masa pendek dan berisiko untuk jangka masa panjang.

Hari ini Bersatu kehilangan kedudukan utama di Johor, dan Umno muncul sebagai parti dominan.

Begitulah juga dengan keadaan di Perak. Kedah pula mungkin diterajui oleh PAS dengan jumlah Adun tertinggi.

Bersatu juga adalah jenama baru bagi orang Melayu, berbanding Umno dan PAS. Malah prestasi Bersatu di peringkat parlimen dalam PRU 2018 adalah yang terburuk di kalangan PH.

Hanya memenangi 11 kerusi di kawasan parlimen campuran - melibatkan sokongan bukan Melayu yang besar, atas tiket PH.

Jumlah MP Bersatu pada hari ini seramai 36 orang, melibatkan 15 kemasukan pembangkang ke dalam parti itu, dan 10 MP dari kem Azmin.

Ini berbeza dengan BN yang bertanding dengan jenama sendiri dan merupakan parti berasaskan Melayu yang popular, mempengaruhi lebih 50 peratus undi orang Melayu.

Justeru kita akan menyaksikan persaingan sengit antara Bersatu dan Umno tidak berapa lama nanti.

Pelantikan jawatan utama

Untuk mengelakkan Bersatu ditenggelamkan oleh Umno sebagaimana yang berlaku di Johor, dan mungkin juga Perak dan Melaka, Bersatu dipercayai akan mengambil langkah strategik dalam mengekang pengaruh Umno, atau mungkin juga melakukan gabungan secara pragmatik.

Apakah implikasinya kepada negara? Merubah mandat pilihan raya dalam sains politik dianggap sebagai satu kebalikan demokrasi dan penafian hasrat umum. Keputusan PRU 2018 menjadi tidak bermakna dan begitu juga dengan perubahan rejim.

Usaha untuk transformasi dan reformasi bukan sahaja akan tersekat, malah akan mengundur kebelakang.

Pelantikan jawatan utama sektor awam termasuk Jabatan Peguam Negara, SPR dan SPRM barangkali akan terus dipolitikkan dan dilemahkan sebagai alat berbanding matlamat pemerintahan.

Kes-kes profil tinggi mungkin ditarik balik untuk menghormati kompromi elit ini, atau mungkin juga diteruskan bagi melemahkan kekuatan lawan.

Tapi hal ini bukanlah pengakhiran untuk PH, yang masih lagi berpeluang untuk menyaingi rejim baharu dengan sengit, sekiranya terbentuk nanti, dalam PRU-15.


*DR MUHAMAD NADZRI MOHAMED NOOR ialah penganalisis politik.

Tiada ulasan: