PETALING JAYA: Istana Negara hari ini tidak mahu terima wakil yang dihantar Ahli Parlimen Semporna, Shafie Apdal untuk menghadap Agong tentang penubuhan kerajaan baru, kata seorang pegawai istana.
Selepas perjumpaan dengan ahli Parlimen yang berlangsung sejak semalam selesai petang tadi,
pegawai berkenaan memberitahu pemberita ketua menteri Sabah itu dianggap tidak hadir kerana menghantar setiausaha sulit kanannya untuk pertemuan peribadi itu.
“Perlu ada batang tubuh sendiri untuk hadir, tidak boleh wakilkan kepada mana-mana pihak. Dia ada hantar wakil pada petang ini tapi ia tidak dianggap sah,” katanya.
Pegawai itu juga memaklumkan selain Shafie, Ahli Parlimen Padang Rengas, Nazri Aziz juga tidak menghadap Agong.
FMT difahamkan Nazri ketika ini berada di luar negara.
Hari ini seramai 137 ahli Parlimen hadir ke Istana Negara seperti yang diarahkan untuk ditemubual Sultan Abdullah satu persatu. Semalam, 83 ahli Parlimen datang menghadap.
Keseluruhannya 220 daripada 222 ahli Parlimen tampil untuk temubual yang diadakan sepanjang hari, yang dijalankan mengikut proses selepas peletakan jawatan Dr Mahathir Mohamad sebagai perdana menteri pada Isnin.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan