Jumaat, 14 Februari 2020

Penguatkuasaan lemah punca gerakan Kristian berleluasa

Oleh Ainul Illia Meor Suzurudin

 

Ikut undang-undang, tak boleh sebar agama lain selain Islam: Mufti

BANGI – Penyebaran dakyah Kristianisasi kepada orang Islam yang semakin berleluasa di negara ini adalah natijah daripada kelemahan penguatkuasaan undang-undang mengikut Perlembagaan Persekutuan.

Mufti Pahang, Datuk Seri Abdul Rahman Osman ketika dihubungi Ismaweb.net berkata, golongan warga asing – yang terbabit menyebarkan dakyah Kristian – semakin berani berbuat demikian kerana tiada tindakan tegas daripada pihak berkuasa.

Beliau berkata demikian mengulas pendedahan pendakwah bebas, Firdaus Wong Wai Hung di laman sosial Facebook bahawa terdapat gerakan warga asing cuba menyasarkan anak-anak muslim bagi sebaran ajaran Kristian di negara ini.

Firdaus telah memuat naik beberapa keping gambar di Facebook, memaparkan aktiviti-aktiviti dakyah termasuk poster yang juga terpapar tulisan ‘Dakyah Kristian Korea Bersama Pelajar Muslim di Gereja Cameron Highlands’.

Malah, sebelum ini juga, wujudnya pasangan misionari atau anggota agama dari Amerika Syarikat (AS) dan Singapura menyebarkan agama Kristian kepada umat Islam di negara ini.

Beliau turut memuat naik sebuah video – memaparkan pasangan berkenaan mendekati mangsa dengan menawarkan doa penyembuhan penyakit, lalu memulakan dakyah bahawa Jesus boleh menyembuhkan penyakit yang dihidapi mangsa.

Mengulas perkara itu, Abdul Rahman menegaskan, dalam Perlembagaan Persekutuan, Fasal 11 menetapkan bahawa setiap orang mempunyai hak untuk menyatakan dan menjalankan agamanya dan (tunduk pada undang-undang yang berlaku menyekat penyebaran agama-agama lain untuk umat Islam) untuk menyebarkannya. 

“Kita dah ada undang-undang peraturan sepatutnya diperkuatkuasa, ini dia berani kerana tidak ada penguatkuasaan. Kalau buat penguatkuasaan mungkin akan dapat menyekat perkara-perkara sebegini daripada berlaku.

“Orang Islam sekarang ini marah, sebab kita ada peraturan tapi tak dilaksanakan. Orang Islam kalau nak bercakap pun kena berhati-hati, sedangkan kita bebas untuk bercakap mengenai agama kita, berdakwah dan sebagainya. Tetapi kita bukannya nak paksa atau suruh mereka masuk Islam.

“Inikan pula ada gerakan sebegini untuk menyebarkan dakyah agama lain. Kalau ikutkan undang-undang mereka tak boleh menyebarkan agama lain selain Islam. 

“Kembalilah kepada peraturan sedia ada, supaya mereka sedar perbuatan mereka menyalahi undang-undang.

“Pihak polis digesa mengambil tindakan segera terhadap pesalah, supaya tidak berlaku lagi perkara begini,” tegasnya.


Tiada ulasan: