Rabu, 5 Februari 2020

PAS cuba kerjasama dengan Dr M sebelum PRU-14, Takiyuddin sangkal Saifuddin

Setiausaha Agung Takiyuddin Hassan berkata PAS pernah berunding 
dengan pimpinan PPBM sebelum PRU-14 tetapi kerjasama 
tidak terlaksana kerana DAP.

PETALING JAYA: PAS menyangkal dakwaan Setiausaha Agung PKR, Saifuddin Nasution bahawa parti Islam itu menyokong Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad hanya selepas kejatuhan bekas perdana menteri Najib Razak pada pilihan raya umum ke-14.

Setiausaha Agung Takiyuddin Hassan berkata dakwaan itu tidak benar kerana PAS cuba bekerjasama dengan PPBM sejak sebelum PRU lagi tetapi tidak terlaksana kerana DAP.

Beliau menjelaskan PAS pernah mengadakan rundingan dengan Presiden Muhyiddin Yassin dan Timbalan Presiden Mukhriz Mahathir namun PPBM tidak dapat memenuhi syarat PAS yang tidak mahu ia melibatkan DAP.

“Hakikat PAS tidak bekerjasama malah tiada kompromi dengan BN semasa PRU-14 jelas apabila PAS bertanding bersendirian dalam lebih 150 kerusi Parlimen menentang BN dan PH sehingga mewujudkan pertandingan 3 penjuru,” katanya dalam kenyataan.

Takiyuddin berkata keadaan itulah yang menyebabkan Pakatan Harapan berjaya merampas kerajaan pusat.

“Suatu perkara yang mustahil boleh berlaku jika PAS menyokong atau bekerjasama dengan BN,” tambahnya.

Takiyuddin berkata PAS akan terus menyatakan sokongan kepada Mahathir dan sedia membantunya memimpin negara memandangkan beliau menjamin kedudukan Islam dan Melayu, selain mengambil kira kepentingan dan hak semua kaun lain.

Tiada ulasan: