Khamis, 6 Februari 2020

Lokman mengaku rakaman audio Zahid tulen

Wartawan MalaysiaGazette
MGF26092019_LOKMAN-SERAH-LAPORAN-04
Datuk Lokman Noor Adam.
 

KUALA LUMPUR – Datuk Lokman Nor Adam mengaku bertanggungjawab merakam sendiri ucapan Presiden UMNO sebelum ditularkannya.

Semalam, Ahli Majlis Tertinggi UMNO itu membantah niat Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi yang didakwanya mahu menjalinkan kerjasama membentuk kerajaan ‘pintu belakang’ dengan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad.

Bagaimanapun, Lokman menegaskan, rakaman ucapan Ahmad Zahid itu bukan dibuat semasa mesyuarat MT UMNO seperti dakwaan sesetengah pihak.

“Ya, saya sendiri rakam masa tengah mesyuarat tapi bukan mesyuarat MT macam dakwaan Datuk Shamsul Anuar Nasarah,” ujarnya dalam video yang dimuatnaiknya hari ini.

Menurut Lokman, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi hadir pada mesyuarat parti yang dipengerusikan Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman.

“Lepas dia (Ahmad Zahid) lepas balun saya, saya rakam la tapi alhamdulilah masa balun saya dia terkeluar kenapa mereka hendak bekerjasama dengan Tun Mahathir (Mohamad),” ujarnya lagi.

Beliau juga mendakwa tidak membangkitkan perkara itu melalui platform parti kerana tidak ada keyakinan lagi kepada mesyuarat MT UMNO.

Apa pun, katanya, Ahmad Zahid tidak boleh lagi menyembunyikan perkara itu kepada umum selepas mesyuarat MT UMNO pada 7 Januari ini.

Dalam masa yang sama, Lokman juga menafikan dirinya orang upahan Datuk Seri Anwar Ibrahim yang mahu merosakkan UMNO dari dalam termasuk mengkritik Ahmad Zahid. – MalaysiaGazette

Tiada ulasan: