Isnin, 3 Februari 2020

Koronavirus: KBS bincang dengan KKM isu penyertaan sukan Para Asean

BERNAMA




Kementerian Belia dan Sukan (KBS) akan berbincang dengan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) berhubung kesesuaian atlet para negara menyertai Sukan Para ASEAN 2020 di Filipina,
susulan kematian pertama di luar China akibat jangkitan novel koronavirus 2019 (2019-nCoV).

Menteri Belia dan Sukan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berkata sebelum sebarang keputusan dimuktamadkan, pihaknya akan mendengar pandangan daripada pakar khususnya KKM.

"Kita akan adakan pertemuan dengan KKM dalam tempoh terdekat. Sekarang pun kita berurusan dengan mereka (KKM) khususnya berkenaan atlet kita yang berada di luar negara sekarang.

"Pandangan KKM akan diberikan keutamaan kerana apa yang paling penting adalah keselamatan dan kesihatan atlet kita," katanya ketika ditemui pada majis makan tengah hari bersama peserta Sekolah Kepemimpinan Masa Depan Malaysia (MFLS) di Kuala Lumpur hari ini.

Dalam laporan media hari ini, seorang lelaki berusia 44 tahun meninggal dunia pada Sabtu akibat koronavirus di Filipina.

Lelaki yang berasal dari Wuhan, China, dan mengembara ke Filipina itu adalah korban pertama di luar China akibat virus tersebut.

Sukan Para ASEAN edisi ke-10 pada awalnya dijadual berlangsung dari 18 hingga 24 Jan di Filipina, ditangguhkan kepada 20 hingga 28 Mac selepas tuan rumah dikatakan mempunyai masalah kewangan.

Ditanya sama ada KBS akan berhubung dengan Jawatankuasa Penganjur Sukan Para ASEAN Filipina (PHILAPGOC), Syed Saddiq berkata pihaknya akan mengadakan pertemuan dengan jawatankuasa berkenaan selepas mendapat maklum balas daripada KKM.

Mengenai juara dunia 2017, Cheong Jun Hoong yang masih berada di China menjalani latihan dengan bekas jurulatih kebangsaan, Yang Zhuliang, Syed Saddiq berkata: "Kita akan bincang dengan pihak Jun Hoong, malah kerajaan telah mengambil ketetapan untuk membantunya jika beliau mahu pulang ke Malaysia.

“Ada beberapa penerjun yang telah pulang ke Malaysia tetapi bagi (penerjun) Jun Hoong kita belum ada kata putus," katanya lagi.

Mengulas lanjut mengenai lima penerjun dan dua jurulatih negara yang baru pulang ke tanah air pada Jumaat lepas, selepas menjalani latihan intensif di China, Syed Saddiq berkata langkah berjaga-jaga telah dilaksanakan ke atas mereka mengikut piawaian yang ditetapkan KKM.

Lima penerjun itu adalah Leong Mun Yee, Pandelela Rinong, Wendy Ng Yan Yee, Kimberly Bong dan Enrique Harold serta dua jurulatih kebangsaan, Li Rui dan Li Teng.-Bernama


Tiada ulasan: