Jumaat, 21 Februari 2020

Jingga13 nafi anjur demostrasi tuntut peralihan kuasa PM8 malam ini

BADAN Bukan Kerajaan, Jingga 13 Malaysia menafikan akan menganjurkan demontrasi menuntut peralihan kuasa Perdana Menteri ke-8 (PM8) di Yayasan Kepimpinan Perdana, Putrajaya malam ini.

Setiausaha Jingga 13 Afzainizam Rahman berkata, poster ‘Demonstrasi Aman Menuntut Peralihan Kuasa Kepada PM8’ yang memaparkan acara itu yang disebarkan di media sosial adalah palsu.

Menurut Afzainizam, penyebaran poster berkenaan merupakan satu usaha jahat oleh pihak yang terdesak sehingga sanggut melakukan fitnah.

Poster terbabit juga didakwa bertujuan merosakkan nama baik dan reputasi Presiden PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim dan individu-individu serta NGO yang berdiri teguh bersama beliau.

“Permainan politik desperado, jijik dan kotor ini adalah bagi mewujudkan dan mencipta pertembungan, ketegangan dan perselisihan antara Tun Dr. Mahathir Mohamad dan Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“Dengan niat menggagalkan peralihan kuasa Perdana Menteri berlaku dengan aman dan harmoni,” kata Afzainizam.

Poster terbabit memaparkan Jingga 13,  Otai Reformasi dan Anwar Ibrahim Club sebagai penganjur.

Poster tersebut turut menampilkan gambar bekas Ketua Angkatan Muda (AMK) PKR, Datuk Mohamad Ezam Mohamad Nor;  Ahli Dewan Negeri Ijok, Dr Idris Ahmad;  Ketua Koordinator Jingga 13, Fariz Musa; Ahli Parlimen Selayang, Wailliam Leong dan Khairul Anuar @Jonah.

Sebelum ini beberapa pihak yang pro-Anwar mendesak agar Dr. Mahathir segera menyerahkan kuasa Perdana Menteri kepada Presiden PKR itu.

Antaranya termasuk William Leong yang juga merupakan bekas bendahari PKR. Beliau memberi bayangan sesuatu perlu dilakukan, termasuk tekanan daripada pandangan awam sekiranya pelan peralihan kuasa antara Dr. Mahathir dan Anwar tidak berlaku.

Menurut William, sekarang adalah masanya untuk menggunakan “pelan B” bagi memastikan Anwar diangkat sebagai perdana menteri kelapan.

“Ini masa untuk pelan B dikeluarkan, suara rakyat itu penting, kita nakkan pandangan awam, ia adalah tekanan pandangan untuk kerajaan kembali kepada landasan.

“Kita sudah turun ke jalan raya sebelum ini, bukan saya mahu suruh mereka turun, tapi kita mahukan semangat,” katanya pada majlis kupasan politik semasa di Damansara pada 16 Februari lalu.-SM

Tiada ulasan: