Sabtu, 1 Februari 2020

Jangan risau virus, Thaipusam jalan terus - Jk kuil Batu Caves

KOW GAH CHIE



Jawatankuasa kuil Batu Caves akan mengadakan sambutan perayaan Thaipusam seperti yang dirancang walaupun Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) telah mengisytiharkan wabak koronavirus novel sebagai kecemasan global.

Pada sidang akhbar hari ini, Pengerusi Kuil Sri Maha Mariamman Devasthanam, R Nadarajah berkata jawatankuasa itu belum menerima sebarang nasihat daripada kerajaan jika sambutan Thaipusam perlu ditangguhkan.

"Saya masih menunggu nasihat yang mereka berikan untuk mengawasi perarakan (Thaipusam).

"Tetapi ini suatu perayaan agama yang dihadiri oleh ramai orang. Polis tidak boleh mengatakan, 'kamu semua tidak boleh datang'," katanya.

Beliau menjangkakan ramai pelancong dari China akan melawat Batu Caves tetapi menekankan bahawa jawatankuasa kuil tiada hak untuk menghalang mereka daripada menghadiri perayaan Thaipusam.

Perkara itu kini berada di bawah penelitian Kementerian Kesihatan dan kerajaan, kata Nadarajah.

Pada 29 Jan, Timbalan Perdana Menteri Dr Wan Azizah Wan Ismail dipetik FMT berkata kerajaan akan mengambil nasihat WHO sekiranya perlu untuk menangguh perhimpunan besar-besaran seperti perayaan Thaipusam, berikutan wabak virus itu.

WHO baru sahaja mengisytiharkan wabak virus sebagai bencana antarabangsa.

Nadarajah berkata lagi jawatankuasa kuil itu merancang membeli topeng muka untuk diedarkan kepada para penganut yang hadir nanti.

Bagaimanapun, katanya, jawatankuasa kuil itu telah diberikan sebut harga RM5 bagi setiap topeng dan pembekal berkata mustahil dapat membekalkan 1.5 juta topeng ke kuil itu.

Jelasnya lagi, enam hospital kerajaan bersetuju untuk menghantar sejumlah 1,800 anggota perubatan, termasuk doktor, di Batu Caves dan pusat kuarantin akan ditubuhkan di sana.

Sementara itu, Nadarajah berkata beliau menjangkan lebih 100,000 penganut akan menyertai perarakan Thaipusam, bermula dari Kuil Sri Maha Mariamman di Jalan Tun HS Lee pada 6 Februari dan tiba di Batu Caves pada hari berikutnya.
Beliau juga menjangkakan 1.5 juta pelawat dan penganut akan datang di Batu Caves dari 6 Feb hingga 8 Feb dan berkata wabak virus itu akan menjejaskan kehadiran mereka.

"Tidak akan ada sebarang perubahan (dalam bilangan orang ramai). Mereka berdoa untuk kehidupan mereka, mengapa mereka perlu takut?" soal Nadarajah.

“Dewa Murugan akan menjaga keadaan. Kenapa anda semua bimbang? Jangan risau,” kata Nadarajah.

Menurutnya jawatankuasa kuil akan membuat laporan terhadap warganet yang menyebarkan berita palsu dan mereka yang menggesa orang ramai supaya tidak menghadiri perayaan Thaipusam.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Gombak, ACP Arifai Tarawe, yang juga menghadiri sidang media itu berkata, polis tidak menerima sebarang arahan untuk menangguhkan sambutan Thaipusam.

Katanya, pihak polis dan polis trafik yang ditempatkan di Batu Caves akan memakai topeng untuk pelindungan.

Beberapa jalan ke Batu Caves akan ditutup dan polis hanya membenarkan kenderaan diletakkan di lorong pertama MRR2 sepanjang 1.5 kilometer berhampiran Batu Caves.

Beliau berkata, dron yang terbang tanpa kebenaran Jabatan Penerbangan Awam (DCA) di kawasan itu akan diturunkan.

Tiada ulasan: