Meskipun ketika sidang medianya semalam Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad dilihat tersenyum mengumumkan bahawa Majlis Presiden PH sebulat suara bersetuju membenarkan beliau membuat keputusan bagi peralihan jawatan perdana menteri, tetapi difahamkan mesyuarat itu tegang.
Tiga sumber dari kedua belah pihak mengesahkan kepada Malaysiakini bahawa PH terutama daripada Amanah dan DAP menggesa Dr Mahathir menetapkan tarikh bagi menyerahkan kuasa kepada Presiden PKR, Anwar Ibrahim.
Berikutan kemenangan sejak pilihan raya umum lepas, PH dan sekutunya Warisan mempunyai 138 kerusi di Dewan Rakyat.
Jika Bersatu keluar, PH akan kehilangan 26 kerusi, meninggalkan kerajaan dengan hanya 112 kerusi.
Sekiranya sebahagian ahli parlimen PKR yang menyokong Dr Mahathir turut keluar PH, kerajaan akan jatuh.
Bagaimanapun, dua sumber yang rapat dengan pemimpin dalam mesyuarat itu berkata, Presiden Amanah Mohamad Sabu, atau lebih dikenali sebagai Mat Sabu, tidak gentar dengan amaran dari pemimpin Bersatu yang berkata mereka akan keluar PH.
“Mat Sabu dengan tegas jawab, kami tak ada masalah, puluh tahun dah kami jadi pembangkang dan disambut dan disokong padu wakil DAP,” kata sumber itu.
Satu-satunya pemimpin Bersatu yang mengambil pendirian diplomatik ialah Muhyiddin Yassin, yang mencadangkan supaya isu peralihan kuasa diserahkan untuk dibincangkan antara Anwar dan Dr Mahathir.
Pada mesyuarat semalam juga, Timbalan Presiden PKR Mohamed Azmin Ali, yang kini dilhat tidak sehaluan dengan Anwar, dikatakan memberikan sokongan agar Dr Mahathir dikekalkan sehingga habis penggal.
“Dia (Azmin) pun keluarkan cadangan untuk Tun (Dr Mahathir) kekal sepenggal,” kata salah satu sumber.
Menurut sumber ketiga yang berada dalam mesyuarat berkenaan, ketika para pemimpin berbalas hujah, Dr Mahathir tenang dan memberi sepenuh perhatian sepanjang mesyuarat itu.
“Dia tenang, dengar semua hujah…..dan berikan satu penyelesaian,” kata sumber.
Sumber itu turut menambah, Anwar kemudian cuba meredakan keadaan dengan meminta agar Dr Mahathir dibenarkan menentukan tarikh peralihan kuasa tersebut selepas Sidang Kemuncak Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (Apec) yang akan berakhir pada bulan November.
Pada sidang media selepas mesyuarat tersebut, Anwar – yang dilihat duduk sebelah Dr Mahathir - mengulangi pendiriannya.
“Saya cadang Tun (Dr Mahathir) diberi peluang mentadbir negara dan tetapkan bila masa yang sesuai.
“Sementara itu saya kena bersabar,” katanya.
Selepas mesyuarat tersebut, Azmin sambil tersenyum berkata: “(Saya) senyum kerana perdana menteri tegas dalam menjamin kestabilan ekonomi dan politik."
Sementara itu, pemimpin veteran DAP Lim Kit Siang enggan memberikan ulasan apabila diminta pemberita.
Meskipun Anwar telah mengumumkan kedudukannya, namun ia tidak memberi jaminan bahawa penyokong Anwar akan berhenti menggesa Dr Mahathir melepaskan jawatan perdana menteri itu, genap dua tahun tempoh pemerintahannya.
Dr
Mahathir sebelum ini pernah berkata beliau memerluka dua hingga tiga
tahun sebagai perdana menteri. Dr Mahathir juga sebelum ini berulang
kali menegaskan akan menyerahkan kuasa selepas Apec, tempoh selepas Apec
yang dimaksudkannya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan