Faizal sebagai kawan tak harus cakap seperti lawan, kata Lim
MALAYSIAKINI
Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng berkata kenyataan Menteri Besar
Perak, Ahmad Faizal Azumu yang mendakwa berseorangan dalam menentang DAP
sebagai sukar untuk diterima.
Lim berkata ini kerana apa yang didakwa Faizal terhadap DAP bukan sahaja tidak benar tetapi sama sekali tidak berasas.
Kata
Lim, sebagai rakan seperjuangan dalam Pakatan Harapan (PH) Faizal tidak
seharusnya mengeluarkan kenyataan seperti pihak lawan yang boleh
menjejaskan gabungan itu.
"Apa yang dinyatakan itu memang sesuatu
yang sukar untuk diterima kerana ia bukan sahaja tidak benar tetapi
tidak berasas dan kenyataan yang tidak berasas itu akan menggegarkan PH.
"Khususnya
yang datang dari kawan dan tidak seharusnya seorang kawan cakap seperti
lawan," kata Lim kepada pemberita selepas majlis pembukaan Taman Tema
Escape di Pulau Piang, hari ini.
Bagaimanapun tambah Lim,
sepanjang mengenali Faizal beliau menyifatkan wakil rakyat dari parti
Bersatu itu sebagai seorang yang terbuka.
"Saya kerap berjumpa
dengan menteri besar Perak dan beliau selalu terbuka dan tidak pernah
membuat aduan seperti yang disebutkan tadi maka dalam beberapa kes yang
berlaku beliau selalu mempunyai semangat PH," katanya.
Faizal semalam mengundang kontroversi apabila rakaman video beliau mendakwa berseorangan melawan DAP demi mempertahankan tanah orang Melayu dan Islam tular.
Kejadian
itu berlaku ketika beliau berbual-bual dengan penduduk tempatan ketika
berkempen untuk calon PH di PRK Tanjung Piai, Karmaine Sardini.
"Macam saya di Perak, saya seorang terkontang-kanting nak lawan dengan puak-puak DAP ini.
"Saya nak pertahankan tanah orang Melayu. Saya nak perjuangkan agama kita," katanya.
Dalam rakaman itu, Faizal juga bercakap mengenai hubungan mesranya dengan rakan-rakan dalam Umno.
Bagaimanapun beliau kemudian mendakwa kenyataannya itu diambil di luar konteks.
'Jangan terperangkap naratif pembangkang'
Mengulas
lanjut, Lim yang juga menteri kewangan menasihatkan Faizal supaya
tampil memberi penjelasan berhubung duduk perkara sebenar.
"Sekarang
beliau harus mengambil langkah dan usaha untuk menebus balik apa yang
berlaku supaya dapat memulihkan kesetiakawanan dalam kalangan PH. Supaya
tidak akan menjejaskan kestabilan dan juga perpaduan terutamanya dalam
kerajaan negeri Perak.
"Dan sekiranya apa yang dicakap itu telah
disunting untuk tujuan tertentu maka lebih baik beliau berikan satu
penjelasan ," katanya.
Lim berkata sekiranya percakapan Anggota
Dewan Undangan Negeri (ADUN) Chenderiang itu telah disunting, PH
seharusnya tidak terperangkap dengan naratif palsu itu.
"PH
mewakili semua rakyat dan jangan kita terjerumus dalam naratif
pembangkang di mana dalam kalangan orang Cina saya pula disebut sebagai
boneka Tun Dr Mahathir dan di kalangan orang Melayu juga serupa "oh tak
guna semua boneka dan kuda tunggangan DAP" dan saya rasa itulah cubaan
untuk pecah belahkan kita.
"Jangan kita terjerumus dan terperangkp dalam naratif palsu ini," tegasnya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan