Seorang bapa, Mohd Aizad Fahmy memulakan kempen menggesa
orang ramai menghantar emel kepada jabatan agama Islam di tujuh negeri
yang tidak bersetuju untuk meminda had umur pernikahan.
Melalui hantarannya di Twitter semalam, Aizad menyeru warganet dari tujuh negeri yang tidak bersetuju untuk meminda perundangan tersebut menghantar emel kepada wakil rakyat atau jabatan agama Islam negeri Sarawak, Pahang, Terengganu, Perlis, Negeri Sembilan, Kedah dan Kelantan.
“Sekarang ni, apa yang kita mampu buat adalah protes dan kerajaan negeri harus prihatin dengan suara-suara kita sebab yang mengundi (memilih) benda ni bukan kita. Kita tak ada kuasa untuk tentukan sama ada perkahwinan bawah umur ini boleh atau tidak.
Hantarannya menyatakan: “Hantar emel kepada Jabatan Agama Islam di kawasan anda. Katakan tidak kepada perkahwinan kanak-kanak!."
Kurang
sejam hantarannya itu dibuat, lelaki berusia 34 tahun itu membuat
ciapan semula hantaran salah seorang warganet, @syasyaswift26 yang turut
berkongsi draf emel menggesa agar had umur perkahwinan dinaikkan.
Setakat berita ini ditulis, hantaran Aizad mendapat lebih 800 tanda suka dan 1,308 retweet.
Pada 19 November, Dewan Rakyat memaklumkan Kementerian
Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) dalam peringkat
akhir menyiapkan draf Pelan Strategik Kebangsaan bagi menangani masalah
perkahwinan bawah umur.
Menurutnya, undang-undang keluarga Islam, termasuk hukuman syariah, perkahwinan dan adat negeri, adalah terletak di bawah bidang kuasa negeri dalam jadual kesembilan, bahagian dua - senarai negeri, perlembagaan persekutuan.
Perkahwinan perlu fikiran matang
Menjelaskan motivasi kempen anti perkahwinan bawah umur ini, Aizad berkata sebagai bapa kepada dua anak perempuan dia sangat prihatin terhadap isu tersebut.
"Saya sendiri seorang bapa dan saya mempunyai anak perempuan yang baru berumur 4 tahun dan 2 tahun.
"Jadi bagi saya kempen anti kahwin bawah umur ini penting sebab perkahwinan itu sendiri satu benda yang memerlukan kematangan fikiran dan perlukan banyak aspek yang perlu dipertimbangkan sebelum berkahwin," kata Aizad lagi.
Menurutnya lagi, mereka yang perkahwinan di usia yang sangat muda sebenarnya belum cukup bersedia dari segi mental untuk menghadapi risiko dalam perkahwinan.
Aizad turut menyentuh kadar peningkatan perceraian di kalangan pasangan muda yang semakin meningkat.
"Mereka belum fully developed (benar-benar berkembang dari segi pemikiran) lagi untuk fikir benda-benda macam ni, apatah lagi untuk berkahwin.
"Tambah lagi dengan kadar perceraian yang sangat tinggi di Malaysia ini, jadi saya rasa amat perlu sekali kalau umur untuk perkahwinan itu dinaikkan minimum 18 tahun.
"Sebab itu kempen emel ini untuk setiap rakyat yang berada dalam ketujuh-tujuh negeri yang terlibat tu, mereka memang patut emel, dan hubungi ataupun berhubung dengan jabatan islam negeri masing-masing atau mereka punya Adun negeri masing-masing supaya mereka tahu yang kita ni nak benda ni jadi," katanya.
Pada 13 Nov 2018, Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Hannah Yeoh berkata tempoh lima tahun pertama perkahwinan sangat mencabar kerana kajian Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara pada 2014, lebih satu per tiga kes perceraian berlaku dalam jangka waktu itu.
Mengikut statistik kementerian, terdapat 2,932 kes perceraian di seluruh Wilayah Persekutuan saja antara 2013 dan 2017, manakala data di negeri lain sedang dikumpul ketika itu.
Aizad berkata dia kecewa apabila had umur perkahwinan tidak setuju untuk dinaikkan.
"Tapi pada masa sama, mereka kena tahu yang rakyat ada suara dan benda ni kita mahu sebagai untuk melindungi anak-anak kita pada masa depan.
"Mereka harus faham ni. Kalau mereka tak faham kita tetap akan pressure sampai mereka faham," katanya.
Untuk rekod, sehingga kini hanya negeri Selangor yang telah meminda enakmen berkenaan sementara Wilayah Persekutuan dalam proses pindaan.
Lima negeri lain yang telah bersetuju untuk meminda had umur perkahwinan adalah Pulau Pinang, Sabah, Johor, Melaka dan Perak.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan