KUALA LUMPUR – Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dikatakan telah mengadakan pertemuan dengan kira-kira 30 Ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) di Putrajaya malam ini.
Menurut sumber, pertemuan itu diadakan di kediaman rasmi Menteri Hal Ehwal Ekonomi itu dan dikaitkan dengan kumpulan seorang pemimpin senior UMNO.
Berita itu dikuatkan lagi dengan laporan Raja Petra Kamarudin yang mendakwa Mohamed Azmin mengadakan pertemuan itu bagi mendapatkan sokongan daripada sekurang-kurangnya 30 Ahli Parlimen BN.
“Sekiranya Azmin mendapat sokongan daripada 30 Ahli Parlimen Barisan Nasional, dan bergabung dengan kumpulan pro-Mahathir di Pakatan Harapan, apa-apa percubaan untuk mengguling Mahathir dan menggantikannya dengan Anwar akan gagal,” katanya yang dipetik Malaysia Today malam ini.
Menurut sumber, lebih 10 buah kenderaan berada di perkarangan kediaman rasmi Mohamed Azmin ketika ini dan seolah-olah ada pertemuan melibatkan ramai pihak namun ia tidak dapat disahkan lagi.
Difahamkan, pertemuan itu juga bagi membincangkan kesan kemenangan besar BN di PRK Parlimen Tanjung Piai yang memberi kesan kepada PH yang dipimpin Mahathir tetapi dalam masa sama memberi kelebihan kepada Anwar daripada sudut politik.- MalaysiaGazette
Tiada ulasan:
Catat Ulasan