Isnin, 7 Oktober 2019

Tiada kelibat Anwar di Kongres Maruah Melayu

Manzaidi Mohd Amin
MG061019_KONGRES-MARUAH-MELAYU16-1
Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali (kiri) bersalaman dengan Ahli Parlimen Sembrong, Datuk Seri Hishamuddin Tun Hussein (kanan) pada Kongres Maruah Melayu di Stadium Tertutup Malawati Shah Alam, Selangor. foto SYAFIQ AMBAK
 

SHAH ALAM – Semua pemimpin Melayu dari parti pembangkang dan kerajaan hadir ke Kongres Maruah Melayu, kecuali Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Antara yang hadir, Presiden Parti Amanah Negara (PAN), Mohamad Sabu; Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang; dan Presiden Parti Ikatan, Tan Sri Abdul Kadir Sheikh Fadzir.

Manakala PKR diwakili Timbalan Presidennya, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali; Timbalan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), Datuk Seri Mukhriz Mahathir dan UMNO diketuai Setiausaha Agungnya, Tan Sri Annuar Musa.

Menurut Setiausaha Agung PKR, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail kepada media kelmarin, pihaknya tidak menerima jemputan daripada pihak penganjur Kongres Maruah Melayu untuk Anwar.

Kongres yang dihadiri kira-kira 10,000 orang di Stadium Tertutup Shah Alam itu, termasuk penuntut dari empat universiti awam berlangsung dengan penuh semangat kemelayuan.

Penyanyi terkenal, Siti Nurhaliza yang hadir bersama suaminya, Datuk Seri Khalid Mohamad Jiwa mendendangkan lagu Anak Kecil Bermain Api mengiringi kemasukan Tun Dr. Mahathir ke dewan perhimpunan.

Kemudian diikuti penyerahan resolusi diketuai aktivis masyarakat, Ruk Yahya kepada Tun Dr. Mahathir, yang dirumus oleh lima kluster melibatkan ekonomi, budaya, agama, pendidikan dan politik.

Empat kluster diwakili wakil pelajar universiti, manakala kluster agama disampaikan oleh Ahli Parlimen Pasir Mas yang juga Timbalan Ketua Dewan Pemuda Pas Malaysia, Ahmad Fadhli Shaari. – MalaysiaGazette

Tiada ulasan: