Isnin, 7 Oktober 2019

Latheefa perlu profesional, bukan sibuk sindir ahli politik

Manzaidi Mohd Amin
intanrahmah
Intan Rahmah Ali


KUALA LUMPUR – Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Latheefa Koya tidak profesional dalam bidang tugasnya apabila asyik mengeluarkan kenyataan berunsur politik.

Ketua penaja Pergerakan Wiranita Putra Malaysia, Intan Rahmah Ali berkata, sebagai ketua organisasi bebas penguatkuasaan, beliau seharusnya bebas dari sebarang unsur atau pengaruh mana-mana parti politik.

Katanya, ketika keyakinan umum terhadap agensi penguatkuasaan terutama SPRM belum lagi teguh, tidak wajar beliau berucap menyindir parti politik yang tidak memihak kepadanya.

“Beliau telah mencemarkan nama baik SPRM pada ketika institusi ini cuba mengembalikan integriti dan kepercayaan awam terhadap sistem undang-undang dan perlembagaan negara.

“Dia juga bukan lagi ahli politik, jadi berhentilah berpolitik. Tumpukan perhatian menjadi penjawat awam yang profesional dan amanah dalam menjalankan tugas serta komited untuk pembaharuan institusi yang diterajuinya,” katanya dalam kenyataan kepada media hari ini.

Latheefa ketika bercakap dalam forum bertajuk, “Strengthening Constitutional Institutions:
Malaysia’s Reform Programme”, menggesa ahli politik membuktikan komitmen mereka terhadap pembaharuan institusi, bukan hanya sekadar bercakap mengenainya.

Mengimbau pengalaman dalam PKR, Latheefa dilaporkan berkata, pemimpin Pakatan Harapan (PH) sebelum ini sering bercakap mengenai kebebasan bersuara dan kebebasan kehakiman, namun jarang menyentuh mengenai prinsip perlembagaan dalam ucapan mereka.

Menurut Intan Rahmah, sekiranya Latheefa masih berminat dengan politik, beliau disarankan meletak jawatan sebagai Ketua Pesuruhjaya SPRM dan kembali berpolitik sepuas hati.

“Mungkin dia rindu hendak berada di pentas politik, tapi beliau kena sedar di mana kedudukannya sekarang. Di mana bumi dipijak, di situ langit dijunjung. Sewajarnya beliau menjunjung prinsip SPRM iaitu ‘bebas’, ‘telus’ dan ‘profesional’.

“Wiranita berharap perkara seperti ini tidak lagi berlaku kerana boleh menggugat keyakinan dan mendatangkan kebimbangan umum terhadap sistem undang-undang dan perlembagaan negara,” katanya. – MalaysiaGazette

Tiada ulasan: