Sabtu, 5 Oktober 2019

PAS terkejut ekuiti Bumiputera hanya 16%, desak keluar laporan penuh

Timbalan Presiden PAS Tuan Ibrahim Tuan Man.

PETALING JAYA: PAS mendesak kerajaan menerbitkan laporan terperinci mengenai pegangan ekuiti sebenar orang Melayu dan Bumiputera susulan pendedahan ekuiti mereka hanya 16% sekarang.

Timbalan Presidennya, Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, Pakatan Harapan (PH) telah berjanji laporan tersebut akan dimasukkan dalam ucapan belanjawan setiap tahun, namun pada tahun lepas janji itu tidak ditunaikan.

“PAS sangat terkejut dengan pendedahan pemilikan ekuiti korporat Bumiputera seperti yang diucapkan Perdana Menteri, Dr Mahathir Mohamad di pelancaran Wawasan Kemakmuran Bersama hari ini.

“Setelah 50 tahun Dasar Ekonomi Baru (DEB) dilaksanakan dengan pelbagai program dan tindakan, pemilikan ekuiti korporat Bumiputera hanya mencapai separuh daripada objektif yang telah disasarkan (30 peratus),” katanya dalam satu kenyataan.

Sementara itu, Tuan Ibrahim berkata penurunan tujuh mata peratusan iaitu daripada 23 peratus pada 2011 kepada 16 peratus pada 2015 dalam pemilikan ekuiti korporat Bumiputera amat menyedihkan.

Katanya, statistik itu juga membuktikan dasar afirmatif mesti diteruskan dan pelbagai kelompongan hendaklah diatasi.

“Isu ali baba, ‘rent-seeking’, ‘patronage’ dan rasuah hendaklah dibanteras sepenuhnya.

“Wawasan Kemakmuran Bersama yang akan mula dilaksanakan mesti meletakkan kepentingan Bumiputera dengan adil,” katanya.

Sementara itu, Tuan Ibrahim berkata ekuiti korporat yang dimiliki oleh warga asing telah meningkat secara mendadak daripada 37 peratus kepada 45 peratus.

Beliau berkata kenaikan itu telah melangkaui sasaran 30 peratus yang telah ditetapkan.

“Oleh itu, kerajaan perlu menyemak semula keadaan ini dan mengatur strategi yang lebih wajar agar kedudukan pemilikan ekuiti korporat dapat diselaraskan sepertimana yang telah digariskan sebelum ini.

“Statistik semasa menunjukkan kedudukan ekonomi Melayu dan Bumiputera jauh ketinggalan,” katanya.

Tiada ulasan: