Tun Abdul Hamid Mohamad
Tun Hamid syor peruntukan Akta Lagu Kebangsaan 1968 dipinda
LAGI-lagi
perbuatan tidak menghormati, malah menghina lagu kebangsaan (Negaraku)
dan bendera Malaysia dilakukan oleh orang Cina. Antaranya, selepas
kerajaan BN kalah dalam PRU14, pelajar-pelajar Cina Malaysia di Taiwan
beramai-ramai memegang bendera Malaysia terbalik. Setakat yang saya
tahu, mereka tidak meminta maaf pun.
Kemudian
Namewee menghina lagu kebangsaan dengan mencampuradukkannya dengan lagu
rapnya. Dia dipanggil polis beberapa kali tetapi carian saya tidak
menunjukkan dia didakwa.
Sebaliknya,
dia didakwa dan dihukum menjalankan perkhidmatan masyarakat selama tiga
bulan sebagai ganti hukuman penjara tiga bulan kerana menggunakan
perkataan lucah terhadap seorang pegawai Tenaga Nasional Berhad di bawah
seksyen 509 Kanun Keseksaan.
Selepas
itu bendera Malaysia dipegang terbalik di sebuah sekolah Cina. Ia
dikatakan satu kesilapan. Mengapa kesilapan seperti itu tidak berlaku di
Sekolah Kebangsaan atau SRJK Tamil?
Terakhir
ini, sekumpulan orang Cina tidak berdiri apabila lagu kebangsaan
dimainkan di satu majlis anjuran sebuah parti politik di Kuching,
Sarawak.
Mengikut
laporan Kinitv, apabila ditanya oleh wartawan mengenainya, Ketua
Penolong Pengarah Bahagian Pendakwaan dan Undang-Undang D5, Jabatan
Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Senior Asisten Komisioner Mior
Faridalatrash Wahid berkata, mereka yang tidak berdiri bagi menghormati
lagu Negaraku itu boleh ditahan mengikut Akta Lagu Kebangsaan 1968.
Beliau
sendiri telah melihat video itu, tetapi setakat kenyataan itu dibuat,
belum ada laporan polis dibuat. Katanya lagi, “Ini kesalahan sivil. Jika
ada laporan, mungkin siasatan akan dibuat”.
Saya tidak
faham apa yang dimaksudkan beliau dengan ‘kesalahan sivil’. Semua
kesalahan (offences) adalah jenayah. Jika laporan diperlukan, beliau
sendiri telah melihat video itu, tidakkah boleh beliau atau pegawainya
membuat satu laporan?
Biar apa
pun, laporan telah dibuat kemudian (tidak tahu oleh siapa) dan lapan
orang Cina berkenaan telah dipanggil untuk dirakam kenyataan mereka.
Timbalan Pesuruhjaya Polis Sarawak, Datuk Dev Kumar, memberitahu, kes
disiasat di bawah Seksyen 8 (3) Akta Lagu Kebangsaan 1968 yang
memperuntukkan denda tidak lebih RM100 atau penjara tidak melebihi
sebulan, jika sabit kesalahan.
Menurut
jurucakap kumpulan tersebut, Shaow Tung Leong, mereka bertindak demikian
sebagai membantah kerajaan persekutuan berhubung keengganan membayar
isu royalti minyak 20 peratus kepada Sarawak.
“Tindakan
tidak berdiri ketika lagu kebangsaan dimainkan merupakan protes senyap
berhubung janji royalti minyak tidak ditepati kepada Sarawak,” katanya
lagi.
Jelasnya
lagi, tindakan itu hanya dilakukan ketika lagu kebangsaan dinyanyikan,
namun mereka kembali berdiri, apabila lagu kebesaran negeri, Ibu
Pertiwiku, dimainkan. Kesemua individu terbabit dipercayai anggota
kumpulan Sarawak For Sarawakian (S4S). (Sumber Astro Awani September 30,
2019).
Mereka
nampaknya sedikit pun tidak menunjukkan rasa bersalah atau menyesal,
malah bangga dengan perbuatan mereka. Jurucakap mereka sendiri berkata,
mereka berdiri apabila lagu kebesaran negeri, Ibu Pertiwiku, dimainkan.
Ini menyokong kenyataan bahawa mereka adalah anggota kumpulan S4S.
Ini sangat
serius. Ia menjurus kepada penderhakaan. Setakat ini, belum didengar
bahawa mereka didakwa. Adakah mereka akan dibiarkan sahaja?
Soalan:
Jika mereka itu warganegara Indonesia, Thailand, Filipina, Vietnam atau
Myanmar, mungkinkah mereka dibiarkan sahaja? Malah, beranikah mereka
melakukannya? Mereka berani melakukannya di Malaysia kerana mereka
percaya mereka tidak akan didakwa. Jika didakwa pun, hukuman maksima
denda RM100 itu boleh diketawakan.
Hukuman
denda tidak melebihi RM100 atau penjara tidak melebihi satu bulan itu
diadakan dalam tahun 1968. Sekarang, ia terlalu rendah. Lagi pula,
perbuatan seperti itu semakin melampau, bukan hanya gagal berdiri,
tetapi sengaja dilakukan dan berkait pula dengan gerakan pemisahan.
Peruntukan
itu perlu dipinda. Saya cadangkan ia ditambah menjadi tidak melebihi
RM10,000.00 atau penjara tidak melebihi satu tahun atau kedua-duanya
sekali. Pihak polis, pendakwaan dan mahkamah hendaklah memberi perhatian
yang serius terhadap kejadian seperti ini dan mengambil tindakan tegas
terhadapnya.
Perhatian
juga patut diberi berulangkali, orang-orang yang melakukan kesalahan itu
adalah orang Cina. Ini menunjukkan sikap mereka terhadap negara. Mereka
tidak sedikit pun mempunyai perasaan megah dan cinta kepada negara yang
mereka pilih untuk menjadi warganegaranya. Mereka nikmati hak-hak
sebagai warganegara, mereka kaut kekayaannya tetapi mereka menghina
negara mereka sendiri.
Mereka
sepatutnya tahu membeza di antara kerajaan dan negara. Tidak sukakan
Kerajaan Persekutuan adalah satu perkara. Tidak menghormati lagu
kebangsaan adalah satu perkara lain.
Tidak
sukakan Kerajaan Persekutuan bukanlah satu alasan yang boleh diterima
bagi tidak menghormati lagu kebangsaan. Tidak mendakwa mereka hanya
menggalakkan perbuatan kurang ajar itu. Dan undang-undang berkenaan
hendaklah dipinda untuk menambah hukumannya dan dilaksanakan dengan
tegas.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan