Sabtu, 5 Oktober 2019

Pemuda Umno WP cabar menteri senarai pewaris setuju jual tanah Kg Baru

Mohammed Nizham Abdullah Hamidi berkata, Pemuda Umno 
Wilayah Persekutuan akan membuat laporan kepada polis dan 
SPRM jika wujud unsur penipuan dan rasuah dalam proses 
pembelian tanah Kampung Baru.

PETALING JAYA: Pemuda Umno Wilayah Persekutuan mencabar Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Abdul Samad menyenaraikan nama pewaris yang bersetuju dengan tawaran kerajaan untuk membeli tanah di Kampung Baru.

Ketuanya, Mohammed Nizham Abdullah Hamidi berkata, tindakan itu penting untuk merungkai kesangsian rakyat terhadap isu pembangunan Kampung Baru.

“Jika benar, buktikan kepada rakyat dengan bukti yang sahih, bukan sekadar membuat kenyataan murahan bagi meraih persepsi baik dari rakyat.

“Rakyat tidak bodoh dalam menilai isu Kampung Baru, terutamanya anak-anak muda Wilayah Persekutuan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Sebelum ini, Khalid dilaporkan berkata, laporan media 90% pemilik tanah Kampung Baru bersetuju dengan tawaran kerajaan RM850 sekaki persegi sebagai pulangan untuk pembangunan semula kawasan itu adalah tidak tepat.

Sebaliknya, beliau berkata, apa yang dimaksudkan 90% itu adalah pemilik yang bersetuju menjual tanah mereka dan menerima Projek Pembangunan Kampung Baru, tetapi mereka mahukan harga lebih tinggi.

Rabu lalu, Khalid dilaporkan berkata, 700 hingga 800 borang yang diterima Perbadanan Pembangunan Kampong Baru (PKB) daripada penduduk Kampung Baru berhubung pembangunan semula kawasan itu, kira-kira 90% pemilik tanah bersetuju dengan tawaran RM850 sekaki persegi.

Pada 26 Sept lalu, Khalid berjanji akan berbincang dengan Perdana Menteri, Dr Mahathir Mohamad dan membuat keputusan mengenai tawaran harga lebih tinggi bagi tanah Kampung Baru dalam masa sebulan.

Sementara itu, Nizham mempersoalkan jika semua penduduk Kampung Baru sudah menerima borang permohonan pembangunan semula kerana tiada borong permohonan yang boleh dimuat turun dari laman sesawang PKB.

“Yang ada hanyalah borang kebebasan maklumat, senarai semak, borang townhall dan juga pelan induk Kampung Baru.

“Agak pelik bila Khalid dan PKB tidak meletakkan borang permohonan di dalam laman sesawang PKB. Dari manakah pemilik dan pewaris ini mendapat borang yang dinyatakan Khalid?” soalnya.

Beliau mendakwa berdasarkan maklumat yang diterimanya, majoriti penduduk Kampung Baru tidak bersetuju dengan tawaran kerajaan, terutamanya berkaitan harga tanah RM850 sekaki persegi.

Beliau turut menyifatkan borang soal selidik yang dikeluarkan kerajaan pada sesi townhall ialah satu bentuk “pemerasan jijik” terhadap pemilik dan pewaris tanah Kampung Baru.

Katanya, empat pilihan dalam borang soal selidik itu langsung tidak memberi peluang kepada pemilik dan pewaris menolak tawaran kerajaan.

“Pilihan pulangan penjualan tanah kepada kerajaan, iaitu secara tunai, secara unit siap (in kind), kombinasi tunai dan unit siap serta pemegang saham dalam SPV yang akan dibentuk kerajaan.

“Sudah tentu peratusan bersetuju mencapai lebih 90% kerana tiada langsung pilihan jawapan untuk pewaris dan pemilik tanah Kampung Baru tidak bersetuju dengan tawaran kerajaan.

“Sudahlah begitu, tiada langsung ruang untuk mereka membincangkan harga tanah yang ditawarkan kerajaan, seolah-olah RM850 sekaki persegi itu harga mati. Ini satu kaedah diktator,” katanya sambil mempersoalkan jika kerajaan akan terus memaksa pewaris dan pemilik menjual tanah mereka kepada kerajaan.

Nizham berkata, Pemuda Umno Wilayah Persekutuan tidak akan mendiamkan diri dalam isu ini.

“Sekiranya terdapat unsur penipuan dan rasuah di dalam proses pembelian tanah Kampung Baru, kami memohon mana-mana pihak yang mempunyai maklumat atau rasa tertindas dan tertipu oleh Kementerian Wilayah dan PKB untuk menghubungi kami.

“Tindakan yang sewajarnya akan diambil, termasuklah melaporkannya kepada polis dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia.”

Tiada ulasan: