Selasa, 8 Oktober 2019

Firma berkait Syed Mokhtar kini pemilik permit akhbar Utusan

MALAYSIAKINI

   

Sebuah firma berkait Syed Mokhtar Al-Bukhary akan menjadi pemilik majoriti syarikat yang memegang permit percetakan Kosmo! dan Utusan Malaysia.

Dalam satu kenyataan semalam, Utusan Melayu (Malaysia) Bhd berkata ia akan melupuskan 70 peratus saham anak syarikat milik penuhnya, Dilof Sdn Bhd kepada Aurora Mulia Sdn Bhd.

"Ia untuk memastikan akhbar Utusan Malaysia yang telah berusia 80 tahun tidak dikuburkan dan akhbar Kosmo! yang berusia 15 tahun dapat diteruskan," kata Utusan Melayu Bhd dalam satu kenyataan semalam.

Sepanjang tahun lepas, Aurora Mulia secara agresif menambah pegangan sahamnya dalam Media Prima Bhd dengan pegangan saham sebanyak 31.22 peratus.

Tidak banyak yang diketahui mengenai Aurora Mulia. Bagaimanapun anak Syed Mokhtar, Syed Danial merupakan antara pengarah syarikat itu.

Secara tidak rasmi, Syed Mokhtar kelihatan sedang menjadi pemilik aset media terbesar di negara ini.

Beliau dipercayai pemilik TMR Media Sdn Bhd yang menerbitkan akhbar perniagaan The Malaysian Reserve.

Beberapa syarikat yang dikaitkan dengan Syed Mokhtar juga dipercayai merupakan pemegang saham dalam Utusan Melayu.

Media Prima pula ialah konglomerat media yang menerbitkan akhbar, memiliki empat stesen televisyen dan mengeluarkan kandungan web pada banyak platform.

Selain itu, ia juga antara lainnya memiliki studio produksi dan mempunyai sebuah syarikat pengiklanan.


Tiada ulasan: